am@hmetro.com.my
Ipoh: Kesemua 13 jenazah mangsa nahas bas persiaran membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) selesai menjalani bedah siasat di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), jam 6 petang tadi.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, van membawa semua 13 jenazah itu akan bergerak serentak ke Terengganu dengan bantuan polis pengiring melalui laluan Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli.
“Kita akan lepaskan (konvoi van jenazah) kepada waris terdekat serentak melalui laluan JRTB. Kita akan bersama dengan (polis) Kontinjen Kelantan dan Terengganu untuk mengiringi jenazah bermula dari sini melalui Kuala Kangsar, Jeli dan terus hingga ke Terengganu,” katanya ketika sidang media di luar perkarangan Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini hari ini.
Setakat 8 malam ini, semua van jenazah membawa mangsa sedang ‘beratur’ bersedia menanti proses pengurusan dua jenazah terakhir untuk bergerak serentak dalam satu konvoi diiringi anggota anggota polis pengiring.
Jenazah akan dibawa menuju Masjid Hadhari, Jertih, Besut, Terengganu dengan difahamkan perjalanan mengambil masa sekitar lima setengah jam (lebih lima jam).
Noor Hisam selanjutnya berkata, dua jenazah yang dibedah siasat di Hospital Gerik sudah bergerak lebih awal ke Terengganu hasil perbincangan bersama pihak Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Terengganu serta pihak waris mangsa.
© New Straits Times Press (M) Bhd