bhnews@bh.com.my
KUALA TERENGGANU: Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) akan menggunakan van jenazah untuk mengangkut umat Islam tidak berpuasa yang makan dan minum di tempat awam.
Pesuruhjaya JHEAT, Mat Azmi Arshad, berkata van jenazah yang lengkap dengan keranda turut digunakan pegawai dan anggota penguat kuasa JHEAT ketika melakukan rondaan.
Beliau berkata, kaedah itu antara langkah pencegahan paling berkesan berbanding tindakan undang-undang.
“Kita menggunakan van jenazah dan letakkan di beberapa lokasi terutama berhampiran restoran dan kedai makan dikenal pasti sebagai zon merah yang biasanya dikunjungi kaki ponteng puasa.
“Kaedah itu menampakkan keberkesanan apabila tiada kes tangkapan kaki ponteng puasa dilaporkan sejak 1 Ramadan,” katanya ketika ditemui di pejabatnya hari ini.
Mengulas kaedah itu mendatangkan aib kepada individu yang ditangkap tidak berpuasa, Mat Azmi berkata, tindakan umat Islam tidak menghormati Ramadan dengan makan dan minum di tempat awam lebih mengaibkan.
Katanya, pegawai dan anggota penguat kuasa JHEAT juga akan menghubungi pemimpin masyarakat termasuk ketua kampung untuk menasihatkan mereka yang ditangkap kerana tidak berpuasa sebelum tindakan undang-undang dilakukan.
“Hasil maklum balas, kita dapati mereka yang ditangkap hanya berpuasa ketika berada di rumah, sebaliknya makan dan minum ketika berada di luar rumah,” katanya.
Mat Azmi berkata, mereka yang didapati bersalah kerana tidak menghormati Ramadan boleh didakwa mengikut Seksyen 19, Enakmen Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001.
“Umat Islam yang secara terbuka atau di tempat awam didapati makan, minum dan merokok atau peniaga yang menjual kepada mana-mana orang Islam apa-apa makanan, minuman, rokok atau benda lain yang seumpamanya untuk dimakan, diminum atau dihisap jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd