Van Nistelrooy akui kekalahan paling perit

Van Nistelrooy akui kekalahan paling perit

Leicester: Ruud van Nistelrooy menyifatkan kekalahan 0-2 Leicester City kepada Crystal Palace sebagai detik paling sukar sepanjang tempohnya di kelab itu.

Kekalahan keenam berturut-turut Leicester berlaku di hadapan penyokong sendiri di Stadium King Power, dengan Jean Philippe Mateta dan Marc Guehi masing-masing menjaringkan gol buat Palace.

Kedudukan Leicester kini semakin genting, berada di tangga kedua terbawah liga dengan hanya tiga kemenangan daripada 21 perlawanan musim ini, dua mata di belakang zon selamat.

“Ini adalah tamparan besar. Hari ini adalah saat paling perit yang kami rasakan sejak saya berada di sini,” kata Van Nistelrooy.

“Kami berharap tinggi untuk meraih mata dan persembahan hari ini.”

Bekas penyerang Manchester United itu mengambil alih Leicester selepas pemecatan Steve Cooper, namun gagal mengubah nasib pasukan yang baru kembali ke Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

Walaupun begitu, Van Nistelrooy tetap yakin Leicester mampu mengelak penyingkiran.

“Semangat pasukan masih ada walaupun selepas enam kekalahan. Kami hanya perlu mula menyempurnakan peluang yang dicipta.”

Penyokong Leicester nyata kecewa dan mencemuh pasukan mereka selepas wisel penamat, namun Van Nistelrooy menegaskan tekanan terhadapnya belum memuncak.

“Sokongan tetap ada hari ini. Kini tugas kami adalah mengubah kitaran negatif ini dan mengembalikan harapan kepada penyokong,” katanya.

Dengan hanya 17 perlawanan berbaki, Leicester perlu memperbaiki sentuhan penyudah mereka di depan gawang jika mahu kekal di EPL musim depan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top