nfazlina@nstp.com.my
Kota Bharu: Lebih 1,000 kenderaan van Thailand dikesan bergiat aktif di sempadan di empat negeri dengan setiap kenderaan mampu mengaut keuntungan sehingga RM30,000 sebulan dengan membawa penumpang.
Van berkenaan dikatakan membawa penumpang dari Selatan Thailand ke Lembah Klang sehingga ke Johor dengan setiap penumpang yang terdiri daripada pekerja kedai makan itu dikenakan caj RM70 hingga RM150 seorang.
Pengarah Kanan Penguat Kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, setiap kenderaan dikesan bergiat aktif dengan tiga hingga lima ‘trip’ seminggu.
Katanya, tindakan mereka adalah jelas menyalahi undang-undang iaitu menyalahgunakan permit edaran antarabangsa (ICP) kerana kenderaan yang digunakan adakan kenderaan milik persendirian.
“Hasil pemantauan dan risikan kita, lebih 1,000 bergiat aktif di empat negeri sempadan iaitu Kelantan, Kedah, Perak dan Perlis.
“Daripada empat negeri berkenaan, Kedah dan Kelantan merekodkan jumlah van Thailand paling tinggi yang disita dengan kebanyakan mereka akan membawa pekerja kedai makan.
“Modus operandi mereka adalah menurunkan penumpang Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) dan mengambil semula penumpang terbbait selepas dua kilometer,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Beliau berkata, selain membawa penumpang dari Selatan Thailand, mereka juga mengambil penumpang dari Lembah Klang ke negara jiran berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




