Melaka, 24 Julai (Amanz) – Penghisap rokok elektronik atau vape di Melaka bakal berteribas dan jadi kahau kerana kerajaan negeri akan mengharamkan penjualannya dalam masa terdekat menurut laporan Berita Harian. Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman, berkata ia adalah mengikut keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka memutuskan penggunaan rokok berkenaan adalah haram pada Disember 2015.
Langkah pengharaman vape diambil selepas mengambil kira semua sudut termasuk syariah, perubatan dan saintifik serta unsur pembaziran dan budaya tidak sihat dalam kalangan penghisap bahan berkenaan. Kerajaan Melaka sudah mempertimbangkan pengharaman ini sejak Mei lalu dengan usul akan dibentangkan dalam mesyuarat EXCO untuk ia diwartakan segera.
Sejak kebelakangan semakin banyak negeri mula mengharamkan penjualan dan pengilangan vape berikutan pelbagai isu yang timbul seperti penggunaannya dalam kalangan remaja bawah umur. Vape yang mengandungi dadah terlarang juga kini mula dijual menyebabkan pelbagai masalah ketagihan yang lebih serius berbanding nikotin.
Pada awalnya vape dilihat sebagai alternatif kepada rokok kerana boleh digunakan untuk secara perlahan-lahan berhenti sepenuhnya. Ia didakwa lebih selamat dan tidak menyebabkan kanser. Namun begitu kajian terkini mendapati ia menyebabkan isu paru-paru bertih jagung, masalah jantung dan ketagihan lebih serius kerana kandungan nikotin yang lebih tinggi berbanding rokok.
Sumber: Amanz