Vape Bakal Haram Di Malaysia Selewatnya Penghujung Tahun 2026

Vape Bakal Haram Di Malaysia Selewatnya Penghujung Tahun 2026

Malaysia komited ke arah pengharaman penuh penggunaan vape dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyasarkan pelaksanaannya dimuktamadkan menjelang 2026.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, keputusan untuk mengharamkan vape telah pun dibuat dan kini bukan lagi persoalan sama ada ia akan dilaksanakan, sebaliknya bila langkah itu akan dikuatkuasakan.

“Ketika ini, istilah yang tepat bukan lagi ‘jika’ kita mengharamkan vape, tetapi ‘bila’. Keputusan telah ditetapkan dan isu sebenar adalah menentukan masa yang paling sesuai untuk penguatkuasaan,” katanya.

Menurut beliau, pengharaman penuh vape dijangka dilaksanakan sama ada pada pertengahan atau selewat-lewatnya hujung tahun 2026.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas lawatan kerja rasmi di Hospital Permai, Johor, hari ini. Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon serta Pengarah Kesihatan Negeri Johor (JKNJ), Dr Mohtar Pungut @ Ahmad.

Dr Dzulkefly menjelaskan, KKM mensasarkan penguatkuasaan larangan itu selewat-lewatnya pertengahan 2026 atau sebelum akhir tahun berkenaan.

Katanya, walaupun cadangan tersebut tidak sempat dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet baru-baru ini, beliau yakin ia akan dibawa semula untuk pertimbangan pada awal tahun hadapan.

Mengulas lanjut, beliau berkata keputusan itu didorong oleh kebimbangan serius terhadap penggunaan cecair vape yang dicampur bahan terlarang serta bahan sintetik yang dikaitkan dengan kes psikosis akibat dadah dan masalah kesihatan mental.

“Kita menerima terlalu banyak laporan membimbangkan mengenai penyalahgunaan vape. Saya sendiri dimaklumkan terdapat pesakit di Hospital Permai yang dirujuk akibat psikosis berpunca daripada penggunaan bahan seperti kanabis sintetik dan bahan terlarang lain, sebahagiannya diambil melalui vape,” katanya.


Scroll to Top