Varian baharu Covid-19 mula dikesan di AS

Varian baharu Covid-19 mula dikesan di AS

SAN FRANCISCO – Saintis dari Universiti Stanford mengesan kemunculan satu varian baharu Covid-19 yang kini telah dikesan dalam sampel kumbahan di California, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap kemungkinan penularan jangkitan dalam masa terdekat.

Varian tersebut dikenali sebagai NB.1.8.1, yang merupakan subvarian kepada varian utama yang mula dikesan di China bulan lalu, dan kini dilaporkan telah tersebar ke Eropah serta beberapa kawasan di Amerika Syarikat.

Menurut pakar penyakit berjangkit dan vaksinologi dari Universiti California, Berkeley, Dr John Swartzberg, walaupun kes Covid-19 kekal rendah sepanjang tahun 2025 setakat ini, keadaan mungkin berubah menjelang musim luruh dan musim sejuk akan datang.

“Kami telah kesan kehadiran varian ini dalam air kumbahan di California. Ia bukan sesuatu yang mengejutkan kerana ia sudah dilaporkan di Eropah dan beberapa negeri di AS,” jelasnya.

Beliau menjelaskan bahawa varian NB.1.8.1 tidak menunjukkan tahap ‘keganasan’ yang lebih tinggi berbanding varian sebelumnya, namun mempunyai kebolehan jangkitan yang lebih cepat dan mudah merebak.

“Varian ini dilihat lebih mudah melekat pada reseptor sel tubuh manusia, yang bermakna ia berpotensi untuk menjadi lebih mudah berjangkit. Ini bukan berita baik,” katanya.

Profesor Epidemiologi dari UC Berkeley, Dr Arthur Reingold pula memberi amaran kemungkinan peningkatan kes apabila negara memasuki musim sejuk.

“Menjelang musim luruh dan musim sejuk, kita mungkin akan lihat peningkatan kes, lebih ramai yang dijangkiti, lebih banyak kemasukan ke hospital, dan mungkin juga peningkatan kematian akibat varian ini,” jelas beliau.

Dalam perkembangan berkaitan, keputusan terkini oleh Setiausaha Kesihatan dan Perkhidmatan Awam AS, Robert F. Kennedy Jr, untuk menggugurkan vaksin Covid-19 daripada jadual imunisasi bagi wanita hamil dan kanak-kanak sihat, menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pakar kesihatan.

“Kami tahu jika ibu hamil divaksin, antibodi yang dihasilkan akan dipindahkan kepada bayi dalam kandungan dan dapat melindungi bayi sehingga usia enam bulan daripada jangkitan Covid-19. Namun, semua perlindungan ini kini hilang akibat keputusan tersebut,” ujar Dr Swartzberg.

Dr Reingold turut mengesyorkan agar orang ramai, termasuk keluarga dan rakannya, mendapatkan dos penggalak vaksin Covid-19 sebagai langkah berjaga-jaga.

“Saya sendiri akan mendapatkan suntikan penggalak dan saya galakkan orang terdekat saya melakukan perkara yang sama,” katanya.-Agensi

Scroll to Top