Varian Delta punca kes mendadak di Sarawak

mdroji@nstp.com.my

KUCHING: Penyebaran virus SARS-CoV-2 varian Delta menjadi pencetus utama peningkatan jangkitan COVID-19 di Sarawak ketika ini yang dikesan di 10 bahagian di Sarawak dengan 99 peratus daripadanya dilaporkan di Bahagian Kuching.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Datuk Dr Mohamed Sapian Mohamed, berkata kehadiran virus Delta yang mempunyai kebolehjangkitan lima hingga lapan kali lebih tinggi berbanding varian SARS-CoV lain, menjadikannya faktor utama jangkitan kes tinggi di Sarawak khususnya di Zon Selatan membabitkan daerah Kuching, Bau, Lundu, Samarahan, Asajaya, Simunjan, Serian dan Tebedu.

“Varian Delta berpotensi merebak dengan cepat terutama jika individu tidak memakai pelitup muka, tidak mematuhi penjarakan fizikal dan tidak mengamalkan kebersihan diri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Mohamed Sapian berkata, kehadiran virus itu menyaksikan Sarawak mencatat jangkitan harian melebihi 1,000 sehari dalam tempoh 12 hari berturut-turut sejak 18 Ogos lalu.

“Hari ini saja, sebanyak 2,522 kes baharu COVID-19 dilaporkan di Sarawak, menjadikan kumulatif kes sebanyak 112,245 kes.

“Pada bulan ini saja sejumlah 35,517 kes baharu dikesan iaitu peningkatan 224 peratus berbanding pada bulan lalu bagi tempoh sama,” katanya.

Beliau berkata, rakyat Sarawak bagaimanapun bertuah kerana liputan imunisasi COVID-19 mencapai 90.9 peratus bagi dos pertama dan 87.9 peratus bagi dos kedua setakat semalam.

“Walaupun imunisasi berkesan dalam mengurangkan kesan teruk penyakit akibat jangkitan COVID-19 kepada seseorang, tetapi perlu diingat kira-kira 30 peratus daripada kes harian membabitkan golongan bawah umur 18 tahun masih belum layak menerima vaksin.

“Daripada jumlah kes baharu dikesan pada bulan ini, sebanyak 99 peratus kes berada pada tahap klinikal kategori satu iaitu tiada gejala dan kategori dua iaitu mempunyai gejala ringan ketika dikesan positif,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd