Venus sedia sahut cabaran Terbuka Australia pada usia 45 tahunMelbourne: Juara Grand Slam tujuh kali, Venus Williams, menegaskan beliau “bersedia menyahut cabaran” apabila bakal mencipta sejarah sebagai pemain wanita tertua beraksi di Terbuka Australia pada usia 45 tahun.Legenda tenis Amerika Syarikat itu kembali ke Melbourne Park buat kali pertama dalam tempoh lima tahun dan mengakui bersyukur diberi peluang membuktikan dirinya masih mampu bersaing di peringkat tertinggi.Bekas pemain nombor satu dunia itu, yang kini menghuni ranking ke-576, akan bertemu pemain Serbia, Olga Danilovic yang berada di kedudukan ke-68 dunia, pada pusingan pertama Ahad ini selepas menerima slot wildcard.Williams hanya beraksi secara terhad sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan tersingkir pada pusingan pertama dalam kedua-dua kejohanan pemanas badan sebelum Terbuka Australia.“Saya amat, amat bersyukur dengan peluang yang diberikan oleh Tennis Australia. Bersyukur dapat bermain di hadapan peminat,” katanya.“Saya menerima sokongan luar biasa sepanjang kejohanan sebelum ini, ketika berjalan di sekitar bandar dan di mana-mana sahaja. Harapan saya adalah untuk mempamerkan aksi terbaik.”Pemenang lima gelaran Wimbledon itu pernah mara ke final perseorangan Terbuka Australia pada 2003 dan 2017, selain merangkul empat kejuaraan beregu bersama adiknya, Serena Williams.“Ini adalah tempat terbaik di dunia untuk bermain,” katanya.“Saya mempunyai begitu banyak kenangan indah di sini. Saya sukakan cabaran, jadi saya bersedia menyahut cabaran ini.”Apabila ditanya mengenai rekod mengatasi pemain Jepun, Kimiko Date, yang berusia 44 tahun ketika tersingkir pada pusingan pertama edisi 2015, Williams berkata: “Saya tidak memikirkannya sehingga ia dilaporkan media, jadi ya, ya untuk saya.“Jom lakukannya.”
© New Straits Times Press (M) Bhd



