Barcelona: Max Verstappen menyatakan ‘masih banyak kerja yang perlu dilakukan’ ke atas jentera baharu Red Bull Ford selepas sesi shakedown pertama kempen Formula Satu (F1) 2026.
F1 menganjurkan ujian peribadi lima hari di Barcelona minggu ini, di mana kesemua 11 pasukan dibenarkan melakukan maksimum tiga hari ujian sebelum perubahan peraturan besar-besaran musim ini.
Bukan sahaja terdapat set peraturan baharu, malah Red Bull dengan sokongan Ford, akan membuat debut sebagai pembekal unit kuasa, 21 tahun selepas pasukan itu memasuki F1, menjadikan ia satu cabaran besar.
Atas faktor itu mereka tidak memasuki musim 2026 sebagai pasukan pilihan, walaupun mempunyai juara empat kali dan naib juara musim lalu, Verstappen, yang hanya sempat merasai pemanduan sebenar di Barcelona, semalam.
Ini kerana Red Bull memberikan seluruh sesi kepada rakan sepasukan baharu, Isack Hadjar, sebelum Verstappen memandu pada pagi Selasa, namun keadaan cuaca tidak menentu mengehadkan masanya di litar.
Pada sebelah petang, Hadjar kemudiannya terbabit dalam kemalangan, dan pasukan Austria itu hanya kembali beraksi pada hari terakhir, di mana Verstappen menamatkan sesi dengan 118 pusingan, satu minggu yang baik tetapi belum sempurna.
“Masih dalam proses, tetapi saya rasa kami bermula dengan baik. Ia masih satu formula yang sangat rumit untuk semua, masih banyak kerja yang perlu dilakukan, tetapi itu perkara biasa,” kata Verstappen kepada F1.
Pasukan yang dilihat cukup menyerlah buat masa ini ialah Mercedes, yang mencatatkan pusingan terbanyak minggu ini, dengan pelumba muda, Andrea Kimi Antonelli menjalankan simulasi perlumbaan penuh Rabu lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




