Shanghai: Juara dunia empat kali Max Verstappen menyifatkan era baharu Formula Satu (F1) sebagai satu jenaka selepas terpaksa menarik diri daripada Grand Prix (GP) China akibat masalah unit kuasa, hari ini.
Pemandu Red Bull Racing itu, yang bukan peminat enjin baharu dengan elemen elektrik yang lebih besar serta keperluan mengurus penggunaan tenaga, memperlahankan keretanya sebelum kembali ke pit pada pusingan ke-46.
Dia tidak diklasifikasikan dalam perlumbaan yang hanya menyaksikan 15 pemandu menamatkan saingan.
“Ia bukan soal saya kecewa dengan kedudukan sekarang, kerana sebenarnya saya bertarung lebih kuat berbanding sebelum ini,” kata pelumba Belanda itu kepada wartawan.
“Saya akan berkata perkara yang sama walaupun saya sedang memenangi perlumbaan, kerana saya mengambil berat tentang kualiti perlumbaan itu sendiri.
“Bagi saya, ini satu jenaka,” katanya lagi sambil menyifatkan peraturan baharu itu sebagai “cacat secara asasnya”.
Pemenang 71 perlumbaan itu musim ini lebih banyak bergelut untuk meraih mata yang sedikit berbanding kebiasaannya.
Dia bermula daripada kedudukan ke-20 selepas terlibat kemalangan semasa sesi kelayakan di GP Australia minggu lalu manakala di China pula, Verstappen jatuh daripada tempat kelapan ke tangga ke-14 dalam perlumbaan pecut sebelum menamatkan perlumbaan utama di tempat kesembilan tanpa mata.
Namun tidak semua berkongsi pandangan Verstappen. Bos Mercedes-AMG, Toto Wolff memuji persaingan antara dua pemandunya serta pemandu Scuderia Ferrari, Lewis Hamilton dan Charles Leclerc.
Dua pemandu Ferrari itu juga memuji persaingan antara mereka dalam perlumbaan yang akhirnya menyaksikan Kimi Antonelli meraih kemenangan sulungnya di F1 bersama Mercedes.
“Kadang-kadang kita nostalgia dengan zaman lama yang baik, tetapi saya rasa produk perlumbaan sekarang sebenarnya bagus,” kata Wolff kepada wartawan selepas perlumbaan.
“Majoriti peminat dari semua demografi menyukai sukan ini ketika ini,” tambahnya.
“Max sedang melalui situasi sangat sukar. Bagi seseorang seperti Max yang sentiasa menyerang sepenuhnya, ia tentu sukar untuk diterima dan dihadam.”
Verstappen pula berharap Formula Satu tidak terlalu menumpukan usaha untuk menarik peminat baharu dan mengembangkan populariti sukan itu dengan memudahkan aksi memotong sehingga menjejaskan perlumbaan sebenar.
“Saya harap mereka tidak berfikir begitu, kerana akhirnya ia akan merosakkan sukan ini. Ia akan memakan diri mereka semula,” katanya.
“Mungkin ada peminat yang menyukainya, tetapi mereka tidak benar-benar memahami perlumbaan.”
© New Straits Times Press (M) Bhd




