Mexico: Max Verstappen dan Lewis Hamilton antara pelumba yang akan diketepikan daripada sesi latihan pertama pada Grand Prix (GP) Mexico hujung minggu ini.
Menurut peraturan sukan Formula Satu (F1), semua pelumba utama yang bukan pendatang baharu perlu menyerahkan jentera mereka kepada pelumba muda sekurang-kurangnya dua kali sepanjang musim bagi memberi peluang kepada muka baharu menjalani sesi latihan rasmi.
Verstappen akan direhatkan pada sesi latihan pertama di Litar Autodromo Hermanos Rodriguez, Jumaat ini, dan tempatnya akan diisi pelumba muda Red Bull, Arvid Lindblad.
Lindblad sebelum ini mendapat peluang pertama merasai pengalaman hujung minggu rasmi F1 ketika GP Britain apabila memandu jentera Yuki Tsunoda untuk sesi latihan itu.
Pelumba muda Britain itu adalah sebahagian daripada program pembangunan Red Bull dan dijangka bakal naik pangkat ke pasukan Racing Bulls musim depan.
Menariknya, Lindblad sudah memiliki mata lesen super yang mencukupi untuk berlumba dalam F1 walaupun kini hanya menduduki tangga ketujuh dalam kedudukan keseluruhan FIA Formula 2.
Lindblad dikaitkan dengan peluang besar untuk mendapat tempat tetap musim depan, manakala Isack Hadjar pula dilapor akan menggantikan Tsunoda di samping Verstappen menjelang musim 2026.
Namun, masa depan Tsunoda dan Liam Lawson masih belum ditentukan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




