Verstappen kecewa prestasi Red Bull

Verstappen kecewa prestasi Red Bull

Budapest: Max Verstappen berkata Red Bull perlu melakukan tugas dengan lebih baik selepas impian untuk mencipta kemenangan hatrik di Grand Prix (GP Hungary) berakhir di tempat kelima susulan pelanggaran dengan Lewis Hamilton.

Namun, juara dunia tiga kali itu masih lagi jauh di depan dalam carta dengan 76 mata mengatasi pelumba McLaren Lando Norris yang menduduki tempat kedua di belakang rakan sepasukan yang juga juara kali pertama Oscar Piastri.

“Sudah tentu saya tak gembira,” kata pelumba Belanda itu kepada Sky Sports.

“Pada hari kami kurang kelajuan berbanding McLaren, anda berusaha dan berharap kami melakukan strategi yang betul yang tak menjadi hari ini.”

Komunikasi Verstappen dengan jurutera radio juga kurang lancar dan sedikit tegang.

“Saya tak fikir kami perlu meminta maaf,” katanya. “Saya hanya fikir kami melakukan tugas dengan lebih baik lagi. Saya tak tahu kenapa orang fikir anda tak boleh vokal di radio. Ini sukan. Jika ada yang tak suka, tinggal sahaja di rumah.”

Verstappen berkata Red Bull tidak boleh lagi bergantung kepada kelebihan kepantasan tidak seperti tahun lalu ketika mereka menang hampir semua perlumbaan.

“Saya kecewa kerana saya mahu semuanya lebih baik. Saya realistik. Hari ini kami gagal atasi McLaren,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top