Verstappen kekal unggul di Imola, Piastri akui kesilapan

Verstappen kekal unggul di Imola, Piastri akui kesilapan

Imola: Max Verstappen terus menambah trofi kepada reputasinya sebagai pemandu paling pantas dan berani dalam Formula Satu (F1) serta mengesahkan keperluan untuk litar ‘old school’ selepas mencatat kemenangan keempat berturut-turut di Litar Autodromo Enzo e Dino Ferrari, Ahad lalu.

Kemenangan keduanya musim ini di Grand Prix (GP) Emilia Romagna iaitu litar yang mencabar, pantas dan teknikal selepas kejayaan cemerlang di Suzuka, Jepun pada April lalu, memastikan dia kekal dalam perebutan kejuaraan pemandu dan membuktikan McLaren masih mampu ditewaskan.

Selain kehebatan pemandu Red Bull itu, beberapa perkara utama dipelajari daripada perlumbaan menarik Ahad lalu, yang turut menyaksikan kebangkitan semangat Ferrari hasil sokongan padu peminat di tanah air mereka.

Pemandu Belanda berusia 27 tahun itu melakukan aksi terbaik perlumbaan di selekoh pertama Tamburello sambil mendapat tuah melalui kereta keselamatan untuk meraih kemenangan ke-65 dalam GP ke-400 buat Red Bull.

Sebagai pesaing sejati yang tidak memerlukan motivasi luar, Verstappen membuktikan dirinya masih pemandu terbaik sukan ini, mampu melangkaui potensi sebenar keretanya, sekali gus mengingatkan pentingnya litar bersejarah yang mencabar kekal dalam kalendar.

McLaren hadir sebagai pasukan pilihan dengan Oscar Piastri mendahului Lando Norris sebanyak 16 mata dalam kejuaraan pemandu dan mendominasi kejuaraan pengeluar.

Mereka turut mencatat keputusan 1-2 dalam tiga sesi latihan.

Namun, Verstappen berjaya mencungkil prestasi maksimum keretanya untuk bermula di petak kedua dan kemudian merampas pendahuluan dengan satu aksi berani memotong Piastri.

Kali ini, McLaren gagal memberi tentangan dan Piastri yang menamatkan saingan di tempat ketiga di belakang Norris, mengakui terperangkap dan akan belajar daripada kesilapan itu.

Ini kali pertama musim ini dia tewas secara langsung kepada juara empat kali itu.

“Saya sangka dapat kawal, tapi itu gerakan yang baik daripada Max,” katanya.

“Saya akan ambil sebagai pengajaran. Kelajuan kami tidak seperti dijangka. Saya sepatutnya membrek 10 meter kemudian. Itu saja. Hidup dan belajar.”

Selepas tujuh perlumbaan, Verstappen kini hanya 22 mata di belakang Piastri menjelang GP Monaco minggu ini iaitu litar menyaksikan Red Bull pernah menang empat daripada enam perlumbaan terakhir.

Selepas enam hujung minggu yang sukar dalam siri perlumbaan pembukaan musim ini, Lewis Hamilton kembali menemui sentuhan terbaiknya untuk menamatkan perlumbaan di tempat keempat bersama Ferrari di litar yang dinamakan sempena pengasas pasukan itu.

Kegembiraan jelas terpancar di kalangan peminat yang memenuhi Imola, kebanyakannya berpakaian merah, apabila juara dunia tujuh kali itu akhirnya berjaya mengatasi rakan sepasukan, Charles Leclerc buat kali pertama musim ini.

“Set-up kereta sangat bagus, kereta terasa hebat dan pasukan melakukan kerja cemerlang,” kata Hamilton, 40.

“Kami rasa tekanan besar selepas bergelut sebelum ini terutama dalam sesi kelayakan.

“Saya tak ingat bila kali terakhir berlumba dalam keadaan sebegini dan saya pasti ia berbeza apabila berada dalam kereta merah! Satu perasaan hebat bila ada hubungan dan keserasian begitu.”

Walaupun sempit, lama dan dianggap usang, Imola kaya dengan sejarah dan semangat serta disayangi pemandu dan pasukan sebagai cabaran ‘old school’ yang penuh risiko serta tiada ruang untuk kesilapan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top