Verstappen 'terbang' ke petak utama di Silverstone

Verstappen 'terbang' ke petak utama di Silverstone

Silverstone: Max Verstappen membuktikan dia terus menjadi ‘kuasa utama’ Formula Satu apabila mencatat pusingan kelayakan terbaik musim ini untuk meraih petak utama Grand Prix British, malam tadi.

Juara dunia empat kali itu tampil cemerlang dalam keadaan sukar dengan angin kuat dan litar lembap, meskipun menggunakan tetapan ‘low downforce’ yang lebih laju di laluan lurus tetapi sukar dikawal di selekoh berkelajuan tinggi.

Verstappen, 27, mempamerkan aksi bertenaga pada pusingan terakhir dengan catatan 1 minit 24.892 saat untuk menewaskan pendahulu kejuaraan, Oscar Piastri dari McLaren dengan kelebihan 0.103 saat.

“Anda memang sedang berlumba, Max!” kata jurutera perlumbaan Red Bull, Gianpiero Lambiase, dalam nada tenang yang menyembunyikan kegembiraan mereka selepas pelumba utama itu menafikan pesaingnya dalam sesi penuh tekanan.

Petak utama ini adalah yang ke-44 dalam karier Verstappen dan ketiga di Silverstone, sekali gus menyalakan harapan untuk mempertahankan kejuaraan musim ini walaupun masih ketinggalan 61 mata di belakang Piastri.

Sekiranya hujan membasahi litar seperti diramalkan, tetapan jenteranya mungkin membuatkan Verstappen terdedah kepada saingan utama seperti Lando Norris yang bermula di petak ketiga dan hanya 15 mata di belakang Piastri dalam kedudukan keseluruhan.

“Kereta lebih baik kali ini, lebih seimbang dan laju di laluan lurus walaupun agak mencabar di selekoh pantas.

“Kami masih memburu prestasi terbaik dan akan lihat apa yang berlaku esoks,” kata Verstappen.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top