Verstappen teruja uji jentera baharu Red Bull

Verstappen teruja uji jentera baharu Red Bull

Detroit: Juara dunia empat kali, Max Verstappen, menyatakan keterujaannya untuk memahami karakter jentera baharu Red Bull yang diperkenalkan pada Khamis menjelang musim Formula Satu 2026 yang menyaksikan perubahan besar.

Pasukan itu memperkenalkan livery kereta baharu mereka di hadapan ratusan tetamu di Michigan Central Station, Detroit, kurang dua bulan sebelum musim bermula di Melbourne pada 7 Mac.

Peraturan baharu 2026 menyaksikan perubahan aerodinamik bagi menghasilkan kereta yang lebih ringan dan kecil, selain pengubahsuaian spesifikasi enjin yang meningkatkan sumbangan kuasa elektrik dalam unit hibrid.

“Banyak perkara yang belum diketahui kerana perubahan besar membabitkan enjin dan kereta.

“Pada peringkat awal saya perlukan masa untuk menyesuaikan diri ketika sesi ujian. Motivasi saya sangat tinggi.”

“Ia memang mengambil sedikit masa untuk membiasakan diri. Kita perlu faham di mana prestasi terbaik boleh dicapai dan selesa dengan kereta. Dengan enjin baharu juga, proses ini memerlukan masa,” katanya.

Red Bull yang sebelum ini bergantung kepada enjin Honda mengambil langkah berani pada 2023 dengan membangunkan enjin sendiri bagi musim 2026 menerusi kerjasama bersama gergasi automotif, Ford, yang kembali ke Formula Satu selepas 22 tahun.

Rentetan empat kejuaraan dunia Verstappen berakhir pada musim 2025 apabila pelumba McLaren, Lando Norris, muncul juara, namun pemandu Belanda itu tetap memberi cabaran hebat walaupun memiliki jentera yang kurang kompetitif.

Verstappen mencatat lapan kemenangan musim lalu, lebih banyak berbanding Norris dan rakan sepasukannya, Oscar Piastri, sekali gus membuktikan keupayaannya kekal kompetitif.

Musim ini, Verstappen akan digandingkan dengan pelumba Perancis, Isack Hadjar, yang dinaikkan sebagai pelumba kedua Red Bull selepas musim sulung cemerlang bersama Racing Bulls.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top