mohdsyazwan@hmetro.com.my
Kelana Jaya: Jurulatih Harimau Malaya Pau Marti Vicente membuat sedikit perubahan dalam barisan pemain skuad kebangsaan dengan menggantikan dua pemain kerana mengalami kecederaan dan masalah kesihatan.
Pemain pertahanan Selangor FC, Harith Haiqal Adam Afkar dan penjaga gol Johor Darul Ta’zim II, Muhammad Haziq Aiman Mohd Esa dipanggil Pau Marti bagi menyertai kem skuad Harimau Malaya.
Harith Haiqal, 22, menggantikan pemain Negeri Sembilan FC, Muhammad Harith Samsuri, 24, yang mengalami kecederaan manakala Haziq Aiman, 19, pula menggantikan penjaga gol Terengganu FC, Muhammad Rahadiazli Rahalim, 23, kerana masalah kesihatan.
Sementara seorang lagi pemain iaitu Mohammad Haykal Danish Mohd Haizon, 19, dari Selangor FC bawah 23 tahun (B-23) turut dipanggil menyertai kem skuad Harimau Malaya sebagai pemain tambahan jika berlaku kecederaan atau sebarang kemungkinan ke atas pemain-pemain lain.
Senarai akhir 26 pemain untuk didaftarkan bagi kempen Piala Asean 2024 hanya akan dimuktamad Sabtu ini sehari sebelum perlawanan pertama Kumpulan A, Malaysia bertemu Kemboja.
Mengikut rekod, Piala Asean 2024 akan berlangsung dari 8 Disember 2024 hingga 5 Januari 2025 yang mana Malaysia diundi dalam Kumpulan Abersama Thailand, Kemboja dan Timor Leste.
Kumpulan B menampilkan naib juara edisi terdahulu, Vietnam, Indonesia, Filipina, Myanmar dan Laos. Dua pasukan teratas setiap kumpulan ke separuh akhir.
Skuad negara menentang Kemboja di Phnom Penh pada Ahad ini manakala 11 Disember menentang Timor-Leste di Kuala Lumpur, 14 Disember bertemu Thailand di Bangkok dan 20 Disember melawan Singapura di halaman sendiri.
© New Straits Times Press (M) Bhd




