Vicente yakin raih keputusan positif di Bangkok

Vicente yakin raih keputusan positif di Bangkok

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pengendali Harimau Malaya, Pau Marti Vicente masih menaruh harapan tinggi buat anak buah untuk mendapatkan keputusan positif meskipun keadaan pasukan sekarang diibaratkan seperti skuad ‘tempang’ ketika ini untuk perlawanan ketiga menentang Thailand dalam saingan Piala Asean 2024, di Stadium Rajamangala, esok.

Jelasnya, beliau tetap yakin dengan pemain yang akan beraksi dalam perlawanan itu meskipun terdapat beberapa pemain utama mengalami kecederaan.

“Untuk aksi menentang Thailand, saya yakin pemain akan buat yang terbaik. Dengan situasi ketika ini kami akan cuba dapatkan skuad yang terbaik. Kami akan buat keputusan nanti (siapa yang akan diturunkan),” katanya.

Selain penyerang utama negara, Syafiq Ahmad yang tersisih akibat cedera, seorang lagi pemain turut mengalami perkara yang sama ialah Fergus Tierney yang berdepan masalah di bahagian buku lali ketika membantu Harimau Malaya menumpaskan Timor Leste Rabu lalu.

Tambah Vicente, dirinya perlu bijak mengawal situasi ketika ini apabila jadual perlawanan yang begitu padat sehingga pemain tidak mempunyai masa untuk mencukupi untuk bersedia dalam aksi seterusnya sekali gus itu mengundang risiko kecederaan begitu tinggi.

“Ini kali pertama kami bermain bersama, kami hanya mempunyai dua atau tiga hari untuk persiapan. Selepas perlawanan menentang Kemboja, kami tidak berlatih dengan betul, kami hanya berehat dan kembali semula untuk perlawanan.

“Selepas menentang Timor Leste, kami terbang pula ke Bangkok untuk perlawanan seterusnya,” katanya.

Untuk perlawanan ketiga peringkat Kumpulan A ini, Malaysia perlu mendapatkan sekurang-kurangnya satu mata untuk mencerahkan peluang ke separuh akhir namun ia bukan tugas mudah apabila anak buah Masatada Ishii pasti inginkan kemenangan kedua berturut-turut selepas membelasah Timor Leste 10-0 dalam aksi pembukaan.

Selain Syafiq dan Fergus mengalami kecederaan, Vicente juga kehilangan pemain utama seperti Daniel Ting, Darren Lock, Stuart Wilkin dan Dominic Tan yang dipanggil pulang oleh Sabah FC.

Selepas dua perlawanan ketika ini, Malaysia mengumpul empat mata hasil satu kemenangan satu keputusan seri.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top