Vicky optimis kemampuan Nor Saiful

Vicky optimis kemampuan Nor Saiful

BEKAS jurulatih hoki remaja lelaki negara, I Vickneswaran optimis penggantinya, Nor Saiful Zaini Nasiruddin mampu membentuk skuad Young Tigers yang mantap.

Malah Presiden Persatuan Hoki Kuala Lumpur (KLHA) itu menaruh kepercayaan penuh kepada Nor Saiful Zaini untuk melaksanakan tugas penting tersebut demi negara.

“Dia (Nor Saiful) adalah pengganti yang tepat dan seorang yang berpengalaman kerana pernah mengendalikan pasukan senior kebangsaan selain pernah jadi kapten semasa bergelar pemain,” katanya.

Nor Saiful yang juga bekas jurulatih Tenaga Nasional Berhad (TNB) diumumkan sebagai pengendali baharu skuad Young Tigers.

Vickneswaran yang juga dikenali sebagai Vicky berharap Nor Saiful akan membuat penelitian terperinci mengenai karakter pemain muda dalam usaha membangunkan skuad terbaik menjelang Kejohanan Piala Dunia Hoki Remaja di India akhir tahun ini.

Beliau berkata, antara langkah yang boleh diambil termasuk pemilihan pemain berbakat, penekanan terhadap asas permainan yang kuat serta persiapan fizikal dan mental yang rapi untuk bersaing di peringkat dunia.

“Apa yang paling penting ialah persediaan mental. Waktu terhad, namun ia bukan alasan.

“Seharusnya kena fikir apa yang boleh dibuat. Keupayaan fizikal juga perlu menjadi faktor utama, selain corak permainan,” katanya.

Nor Saiful dalam misinya menetapkan sasaran enam bulan untuk memperkukuhkan barisan Young Tigers menjelang Piala Dunia Remaja di Chennai bermula 28 November hingga 10 Disember depan.

Beliau berkata, tempoh tersebut amat kritikal bagi memastikan skuad muda negara yang kini berada di tangga ke-11 dalam ranking dunia remaja dan keempat di Asia, mampu bersaing sengit di pentas antarabangsa.

Scroll to Top