New York: Victoria Azarenka berkata dia mengalami migrain semasa perlawanan menentang Clara Burel di Terbuka AS awal pagi tadi, tetapi bekas pemain nombor satu dunia itu masih berjaya meraih kemenangan 6-1, 6-4 untuk mara ke pusingan ketiga.
Victoria dilihat selesa ketika memenangi set pertama tetapi mendapati dirinya ketinggalan 1-3 pada set kedua selepas bergelut dengan cahaya yang teruk di Stadium Louis Armstrong.
Bintang Belarus itu menangis ketika dia mengadu sakit migrain dan kemudian memanggil doktor, yang memeriksa tekanan darahnya dan memberi ubat ketika perlawanan terhenti selama hampir lima minit.
Situasi itu menjejaskan momentum Clara, yang melakukan beberapa kesilapan selepas aksi bersambung semula dan terpaksa memberikan kemenangan kepada lawannya itu.
Victoria, pilihan ke-20, hampir tidak meraikan kemenangan itu dan kembali ke tempat duduknya sambil menyarungkan tuala di kepalanya sebelum memakai cermin mata hitam.
“Saya tidak tahu bagaimana saya bermain perlawanan itu. Saya hanya cuba dan berharap ia akan menjadi lebih baik sedikit,” kata Victoria selepas tamat perlawanan.
“Saya memakai cermin mata atas sebab tertentu. Ia mungkin kelihatan pelik dan janggal di TV.
“Tetapi kadang-kadang saya mempunyai migrain kronik dan ia bertambah buruk berlaku ketika beraksi di atas gelanggang,” katanya lagi.
Juara Terbuka Australia dua kali itu akan menentang Wang Yafan dari China pada aksi seterusnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




