Vida sedia taja Kelantan FC, letak Kacak sebagai pengurus

Vida sedia taja Kelantan FC, letak Kacak sebagai pengurus

Vida ketika menjadi penaja Kelantan pada tahun 2016.

USAHAWAN kosmetik, Datuk Seri Hasmiza Othman atau lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida dilaporkan sedia untuk kembali menaja dan menyelamatkan Kelantan FC.

Memetik laporan Majoriti, Vida yang pernah menjadi penaja pasukan pantai timur itu pada 2016 juga mengakui kasihan melihat keadaan Kelantan FC yang berdepan pelbagai masalah.

Malah, beliau juga sudah mempunyai perancangan untuk meletakkan anak lelakinya, Muhammad Eric Zecquan Mohd Amin atau dikenali sebagai Kacak untuk menjadi pengurus pasukan.

“Kalau kena caranya, saya akan ambil semula Kelantan. Seperti keadaan sekarang, kasihan saya tengok. Kalau tunggakan banyak, kami tak nak tapi kalau nak meneruskan atau nak cari pengganti yang boleh majukan memang boleh.

“Saya akan tengok keadaan apabila nak berjumpa dia (pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman atau Zamsaham). Risau jumpa sekarang, Zamsaham dapat publisiti yang dia nak. Tak boleh janji lagi.

“Saya kena berunding dengan mereka sebab bukan saya akan uruskan tapi Kacak. Saya akan beri kepada orang yang tahu pasal bola seperti Kacak. Jangan ada campur tangan pihak lain,” katanya.

Kemelut dalaman membabitkan Kelantan FC bermula daripada pendedahan bekas jurulatih mereka, Choi Moon Sik dan ejennya, Myeongho Jeong mengenai masalah kelab tersebut.

Ia berlarutan apabila terdapat beberapa pemain Kelantan FC yang mendedahkan masalah gaji yang belum dibayar sepenuhnya oleh pihak pengurusan.

Zamsaham dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya baru-baru ini mengakui ‘menahan’gaji pemain, namun telah melunaskannya sebelum perlawanan Liga Super menentang Kelantan United pada Jumaat.

Bagaimanapun, ia tidak dapat mengatasi masalah kemerosotan pasukan apabila tewas kepada Kelantan United FC 1-4 pada Jumaat sekali gus menimbulkan situasi lebih parah dalam saingan Liga Super musim ini.

Untuk rekod, Vida pernah menaja Kelantan dengan nilai tajaan RM16 juta untuk tempoh 2016 dan 2017 yang turut menyaksikan Stadium Sultan Muhammad IV bertukar warna kepada merah jambu sebagai syarat penajaan.