firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pengendali Kuala Lumpur (KL) City FC, Risto Vidakovic mengakui keputusan seri 1-1 menentang PDRM FC dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam tadi agak mengecewakan.
Bagaimanapun, jurulatih kelahiran Bosnia itu enggan menyalahkan anak buahnya sambil menegaskan barisan pemain sudah memberikan komitmen sepenuhnya sepanjang perlawanan.
Menurutnya, keputusan menang, seri atau kalah adalah lumrah dalam bola sepak yang perlu diterima secara profesional.
“Keputusan ini sedikit mengecewakan, tetapi tidak banyak yang boleh diperkatakan. Pemain sudah beri segala-galanya di atas padang.
“Kadang-kala dalam bola sepak, keputusan menang, seri atau kalah adalah sebahagian daripada permainan,” katanya.
Beliau dalam masa sama berharap para pemain dapat segera melupakan keputusan itu dan bangkit lebih kuat bagi menghadapi perlawanan seterusnya dalam saingan suku akhir Piala Malaysia menentang Terengganu FC, Jumaat depan.
“Saya harap pemain boleh bangkit dengan cepat dan fokus kepada aksi berikutnya kerana liga masih panjang.
“Paling penting dalam masa terdekat ini kita akan mengharungi Piala Malaysia dulu, dan kita susah mempunyai perancangan bagi menghadapi aksi itu. Saya harap pemain rehat secukupnya hari ini sebelum sambung latihan untuk suku akhir Piala Malaysia ,” katanya.
Keputusan seri dengan skuad The Cops itu menyaksikan KL City kekal di tangga ketiga Liga Super, namun terlepas peluang merapatkan jurang dengan kelompok teratas.
Sementara itu, PDRM FC yang berjaya mencuri satu mata berharga masih berada di dasar liga, tetapi keputusan berkenaan mampu memberi suntikan moral buat skuad The Cops untuk mengharungi baki saingan musim ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




