[VIDEO] Air Mata Fasha Sandha Mengalir Terkenang Isu Rumah Tangga Fazura – “Kami Kenal Sejak Remaja, Dia Sangat Baik”

[VIDEO] Air Mata Fasha Sandha Mengalir Terkenang Isu Rumah Tangga Fazura – “Kami Kenal Sejak Remaja, Dia Sangat Baik”

Pelakon cantik, Fasha Sandha sebak sehingga mengalirkan air mata tatkala ketika disoal mengenai situasi melanda rumah tangga rakannya, pelakon Nur Fazura.

Menjalinkan persahabatan dengan Fazura sejak berusia 17 tahun, Fasha sentiasa mengenang budi baik Fazura yang sentiasa mengingatinya, lebih-lebih lagi ketika dia bergelar ibu tunggal.

“Saya sedih mengenangkan situasi yang terjadi. Fazura seorang sahabat yang baik, saya kenal dia sejak remaja sehingga kini dan dia masih baik seperti dahulu.

“Ketika saya bergelar ibu tunggal, setiap tahun Fazura tidak pernah lupa untuk menghadiahkan saya baju raya, sampai 20 pasang dia berikan.

“Air mata hari ini bukan drama, kalau boleh tak mahu menangis tetapi apabila mengenang apa yang terjadi, saya sebak kerana ia adalah dugaan untuk Fazura dan keluarga,” katanya kepada XTRA.

Pelakon drama bersiri Natasha itu turut menitipkan pesanan agar peminat dan orang ramai tidak meletakkan kesimpulan awal atas apa yang terjadi sehingga menimbulkan spekulasi.

“Kita hanya pemerhati, mereka sahaja tahu apa yang terjadi. Mereka berdua datang dari keluarga yang baik. Kita sebagai orang luar tak boleh menilai apa yang berlaku kepada mereka.

“Tak perlu juga buat kronologi sendiri. Fazura yang mohon cerai, jadi hanya dia yang tahu apa yang ada dalam hatinya. Perkara yang sepatutnya kita lakukan adalah mendoakan yang terbaik buat mereka.

“Jangan tokok tambah yang bukan-bukan kerana itu boleh menambah kedukaan di hati Fattah dan Fazura. Saya titip doa yang baik-baik buat mereka. Sebagai sahabat sudah pasti tak mahu melihat dia di fasa sekarang, namun hanya Fazura tahu apa yang dia lalui,” katanya.

Tambah Fasha, dia dan suaminya, pelakon Aidil Aziz tidak pernah berbicara mengenai selebriti lain namun isu yang terjadi antara Fazura dan suami, Fattah Amin membuatkan mereka tersentuh.

“Fazura sahabat lama saya yang baik sehingga kini, Fattah pula berkawan dengan Aidil. Dua-dua kawan saya. Fazura adalah antara selebriti yang menjadi inspirasi saya kerana dia berjaya dalam bisnes dan ada empayar sendiri.

“Saya dan suami tak pernah bersembang topik artis atau rakan selebriti kerana Aidil kurang gemar berbicara mengenai orang lain.

“Tetapi isu yang terjadi antara Fattah dan Fazura membuatkan emosi kami berdua terusik dan ia menyentuh hati,” katanya.

Terdahulu, Fazura memfailkan cerai terhadap Fattah di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari pada 13 September lalu.

Menerusi sebutan kes permohonan perceraian yang berlangsung pada Rabu lalu, mahkamah meminta pasangan selebriti itu menyelesaikan konflik rumah tangga mereka di luar mahkamah sebelum tarikh sebutan semula pada 7 Oktober ini.

Fattah dan Fazura mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017.

Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Nur Fatima Aisya yang kini berusia empat tahun.

Scroll to Top