saufi@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Kemusnahan atau pemotongan kabel Internet dasar laut bakal mengakibatkan gangguan skala besar di seluruh dunia.
Trafik Internet dunia banyak bergantung kepada kabel fiber optik bawah laut khusus di sekitar Selat Hormuz, Iran; Laut Merah dan Selat Melaka, Malaysia.
Kelmarin, Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) menyiarkan video animasi yang memperlihatkan bom dan kabel Internet bawah laut.
Video animasi itu antara lain bertujuan sebagai ancaman baharu Iran terhadap Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya bahawa negara republik Islam itu akan melakukan apa saja jika AS tidak tunduk dengan syarat negara itu.
Dekan Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi Universiti Utara Malaysia, Prof Madya Dr Mohd Khairie Ahmad berkata, kabel utama di Laut Merah banyak menyambungkan sambungan Internet bagi Asia, Eropah dan Afrika.
Menurutnya, sekitar 15 hingga 30 peratus trafik Internet dunia disokong kabel dasar laut di Laut Merah.
Beliau berkata, jika tindakan pemotongan kabel itu dilakukan atau kemusnahan kabel akibat peperangan yang berlaku di sekitar perairan berkenaan, ia berpotensi mengakibatkan gangguan Internet di seluruh dunia.
“Malah, untuk sesetengah negara, Internet boleh terputus sementara dan sistem utama seperti perbankan, perkhidmatan awan dan laman dagang akan terganggu.
“Walaupun wujud langkah sokongan seperti trafik Internet boleh dialihkan kepada rangkaian lain, namun kesesakan trafik akan tetap berlaku.
“Menerusi corak ekosistem digital hari ini yang sangat bergantung kepada penstoran awan (cloud storage) dan pusat data (data center), gangguan ke atas kabel dasar laut akan menjejaskan pelbagai aktiviti harian dunia,” katanya.
Beliau berkata, berdasarkan laporan International Telecommunication Union (ITU), kabel dasar laut adalah tulang belakang kepada sistem komunikasi digital dunia.
Katanya, ia merangkumi lebih 95 peratus trafik Internet antarabangsa disalurkan melalui rangkaian gentian optik yang merentasi dasar laut.
© New Straits Times Press (M) Bhd



