Pelakon dan usahawan, Datin Atikah Suhaime, mendedahkan pengalaman menyeramkan yang dialami suaminya, Datuk Lokman Teh, ketika mereka sekeluarga bercuti di Janda Baik, Pahang, baru-baru ini.
Menurut Atikah atau nama sebenarnya Nur Atikah Mohd Suhaime, 34, insiden misteri itu berlaku sekitar jam 4 pagi apabila suaminya mendakwa terlihat ‘Atikah’ di dalam bilik sedangkan ketika itu dia sebenarnya berada di dalam tandas.
“Suami dengar saya ajak dia jalan-jalan sambil dukung anak, Lyla Mulan Teh. Tapi bila dia tengok jam, baru sedar dah pukul 4 pagi. Masa tu juga, paha dia terasa macam ditindih oleh ‘sesuatu’ yang cuba ambil Mulan,” katanya menerusi satu komen di TikTok.
Tambahnya, mujurlah selepas dia keluar dari tandas, entiti berkenaan terus ghaib dan suaminya berjaya bangun.
“Kalau bukan saya atau pembantu yang dukung, mungkin ada ‘yang lain’ yang akan dukung. Itu sebab saya tak lepas Mulan langsung,” jelasnya.
Pendedahan itu dibuat Atikah selepas seorang pengguna media sosial menegur tabiatnya yang sering mendukung anak kerana bimbang memberi kesan kepada perkembangan si kecil dan menjadikannya terlalu bergantung.
Namun begitu, Atikah berkata kejadian aneh yang menimpa suaminya sudah cukup untuk menjelaskan sebab dia tidak mahu berenggang dengan Mulan sepanjang berada di lokasi peranginan tersebut.
Difahamkan, percutian ke Bentong itu adalah sebahagian daripada perancangan keluarga untuk meluangkan masa bersama.