mhafis@mediaprima.com.my
Ampang Jaya: Bimbang video bogel bersama teman wanita disebarkan, seorang pembantu cef sanggup membayar wang ‘perlindungan’ sebanyak RM2,800 secara ansuran kepada dua lelaki sejak sebulan lalu.
Namun, taktik jijik dua suspek itu akhirnya memakan diri apabila mereka diberkas polis di sekitar Ampang, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, mangsa berusia 19 tahun menerima mesej ugutan melalui WhatsApp daripada rakannya ketika berada di rumah di Taman Melawati, pada 11 April lalu.
“Suspek mengugut akan menyebarkan video bogel mangsa bersama teman wanitanya sekiranya tidak membayar jumlah yang diminta.
“Suspek juga meminta sejumlah wang tunai sebanyak RM1,000 menyebabkan mangsa kemudian tampil membuat laporan polis.
“Susulan itu, dua lelaki berusia 18 tahun ditahan kelmarin dan tiga telefon bimbit dirampas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Azam berkata, semakan rekod jenayah suspek pertama mendapati terdapat empat rekod jenayah lampau termasuk rekod dadah manakala suspek kedua tiada rekod jenayah.
“Ujian air kencing terhadap kedua-dua suspek positif dadah jenis THC.
“Suspek direman empat hari bermula semalam hingga 22 Mei ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd