Video buli: Polis rampas enam telefon bimbit

am@hmetro.com.my

Butterworth: Polis merampas enam telefon bimbit dipercayai digunakan dalam dua kejadian buli di sebuah sekolah di sini, yang tular di media sosial sejak Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Mohd Asri Shafie berkata, siasatan mendapati kes itu berlaku pada hari sama iaitu 19 Mei, membabitkan dua mangsa yang dipukul beberapa murid lain.

“Dua klip video berdurasi 24 dan 34 saat itu adalah kes berlainan dan kes pertama berlaku lebih kurang 1 tengahari dengan mangsa merupakan pelajar tingkatan 2 telah dipukul oleh seorang pelajar tingkatan 3.

“Manakala dalam kejadian kedua, mangsa merupakan pelajar tingkatan 1 telah dipukul sembilan pelajar senior kira-kira 3 petang, yang mana mangsa hanya mengenali seorang daripada suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Asri berkata, kedua-dua mangsa dipukul di tandas lelaki sekolah terbabit menggunakan tangan dan kaki tanpa sebarang objek lain.

Menurutnya, bagi kes kedua, polis berjaya menahan sembilan suspek berusia antara 14 dan 16 tahun yang juga penuntut tingkatan dua hingga empat sekolah sama.

Katanya, punca kejadian masih dalam siasatan dan pihaknya turut menasihati orang ramai agar tidak terus menularkan video buli itu kerana dikhuatiri menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.

“Kes pertama disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan atas kesalahan mencederakan orang dan kes berikutnya disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh,” katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin memaklumkan kesemua remaja yang ditahan kelmarin telah dibebaskan dengan jaminan selepas keterangan mereka direkodkan.

© New Straits Times Press (M) Bhd