Penyanyi terkenal Indonesia, Cakra Khan mengumumkan bakal berehat selepas melakukan konsert di Divine yang berlangsung di Plenary Hall, Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) pada Sabtu.
Cakra atau pemilik nama sebenar, Cakra Konta Paryaman, bagaimanapun tidak mengetahui berapa lamakah tempoh masa yang diperlukan untuk ‘berehat’.
Mengulas lebih lanjut, pelantun lagu terkenal Harus Terpisah ini menjelaskan keputusan tersebut diambil untuk mempersiapkan dirinya dengan melebarkan karga muziknya agar lebih segar dan menarik.
“Berapa lama (berehat) saya tidak tahu, tetapi kenapa saya nak berehat untuk solo konsert kerana memang saya ingin ketika saya ada konsert lagi saya boleh memberikan lagu-lagu baru supaya ia tidak terus sama.
“Saya nak beri tumpuan untuk mengeluarkan karya-karya baru, fokus dengan hal-hal baru yang saya boleh kerjakan dalam muzik,” katanya.
Berkongsi pengalaman melakukan konsert di KL, Cakra meluahkan rasa syukur atas sokongan peminat yang tidak berbelah bahagi terhadapnya.
“Tiga tahun berturut-turut di Kuala Lumpur ia sangat baik. Saya sangat beruntung dan saya rasa sudah tiba masanya untuk membuat sesuatu perkara yang baharu.
“Insya-Allah, ketika saya kembali ke Kuala Lumpur nanti saya akan boleh memberikan karya baru dan lebih baik lagi,” ujarnya lagi.
Cakra berkata demikian usai konsert Divine yang berlangsung di Plenary Hall, Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC).
Konsert Divine Cakra Khan ini menampilkan seleksi lagu daripada album terbaru selain deretan lagu malar segar yang pernah melonjakkan nama penyanyi berusia 33 tahun itu.
Sebanyak 24 lagu didendangkan oleh penyanyi suara serak basah ini antaranya lagu malar segar seperti Kekasih Bayangan, Kepada Hati, Harus Terpisah, selain segmen tribute kepada legenda Allahyarham Tan Sri P Ramlee, menerusi lagi Bunyi Gitar.
Selain Cakra, konsert Divine turut menampilkan barisan penyanyi seperti Marsha Milan, Ade Govinda, Ti2Dj, Faizal Lubis dan TherrioXL.