[VIDEO] Da’i Syed Terima Dugaan, Kurang Tawaran Kerja Tapi Tetap Bersyukur

[VIDEO] Da’i Syed Terima Dugaan, Kurang Tawaran Kerja Tapi Tetap Bersyukur

Pelakon dan pendakwah bebas sensasi, Da’i Syed mengakui kurang menerima tawaran kerja setelah terbabit dalam kes mahkamah sejak tahun lalu,

Ketika ditemui XTRA, Da’i Syed atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful Jamalullail meluahkan rasa syukur apabila diberi peluang untuk membintangi filem Dajal: Satu Malam Dipedajal terbitan MIG meskipun dilanda kontroversi.

“Alhamdulillah filem ini adalah pembuka rezeki buat saya bagi tahun 2025. Sejujurnya, saya memang tiada tawaran kerja sebelum ini. Jadi, saya ingin ucapkan terima kasih buat MIG dan pengarah kerana sudi memanggil saya.

“Mungkin ini juga rezeki anak dan isteri saya. Saya hanya menumpang rezeki mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Syed turut menepis dakwaan mengatakan namanya sudah digam oleh mana-mana produksi susulan kes mahkamah yang masih berjalan.

“Kalau orang takut, takkan MIG mahu ambil saya berlakon. Saya pun tidak pasti. Kena tanya kepada pengarah atau produser. Apapun, saya akan sentiasa bersikap profesional. Apa sahaja tawaran yang diberikan, saya pasti akan buat yang terbaik,” jelasnya.

Syed berkata demikian ketika ditemui di malam gala tayangan filem Dajal yang berlangsung di ibu kota, baru-baru ini.

Meskipun sumber rezekinya terjejas, namun Syed berkata dia kini memberi tumpuan kepada bisnes yang dijalankan bersama isteri, Hana Ismail.

“Walaupun tiada tawaran dalam bidang seni, saya masih ada perniagaan yang menjual batu permata daripada Mesir. Saya dan isteri sedang giat jalankan bisnes tersebut.

“Walaupun saya tidak menerima tawaran-tawaran lain, tapi saya dapat tawaran daripada Allah untuk melihat anak saya membesar,” ujarnya.

Ogos tahun lalu, Da’i Syed dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Seksyen, Shah Alam kerana merogol seorang wanita di sebuah kondominium, lima tahun lalu.

Bagaimanapun, Hakim Datuk Aslam Zainuddin membenarkan permohonan peguam yang mewakili Syed, Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff untuk dibebaskan sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi selepas 21 hari ditahan di Penjara Kajang.

Filem Dajal arahan Pierre Andre sudah mula ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia bermula 6 Februari.

Selain Syed, Dajal turut dibintangi Amir Nafis, Bidin Al Zaifa, Khatijah Tan, Jay Iswazir, Jaja Iliyes dan Hanna Halim.

Scroll to Top