mhafis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) sudah meminta pengendali platform media sosial menurunkan kandungan video dan audio rasuah berkaitan perolehan projek mineral membabitkan ahli perniagaan yang dikaitkan dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sabah.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, dalam kes isu dakwaan rasuah membabitkan Adun Sabah, pihak MCMC menerima permintaan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung video dan ugutan bunuh.
Menurutnya, siasatan sedang dijalankan oleh SPRM dan PDRM berhubung isu membabitkan dakwaan rasuah dan ugutan bunuh.
“Susulan permintaan daripada SPRM dan PDRM bagi menurunkan kandungan video itu, MCMC sudah meminta pihak pengendali platform media sosial menurunkan video yang tersebar itu.
“Hal ini kerana penyebaran video itu akan menjejaskan siasatan membabitkan Adun berkenaan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menangani Kesesakan di Tambak Johor di Bukit Aman, di sini, hari ini.
Beliau berkata, MCMC tidak terbabit dalam siasatan itu tetapi mempunyai punca kuasa berkaitan video yang dimuatnaik naik dalam media sosial.
MCMC sebelum ini meminta portal berita mengeluarkan serta-merta satu artikel dan video yang didakwa berkaitan skandal rasuah di Sabah.
Harian Metro semalam melaporkan SPRM sudah memanggil lima Adun Sabah bagi membantu siasatan berkaitan dakwaan rasuah.
SPRM dilapor berkata, pihaknya sudah menerima aduan mengenai seorang ahli perniagaan yang disyaki terbabit isu dakwaan rasuah berkaitan perolehan projek mineral di negeri itu.
Menurutnya, siasatan awal berhubung aduan itu membawa kepada penemuan maklumat yang mengaitkan beberapa Adun Sabah yang disyaki terbabit isu dakwaan rasuah.
Difahamkan, antara Adun yang dikaitkan dengan klip audio itu ialah Datuk Dr Yusof Yacob (Sindumin), Datuk Rubin Blang (Kemabong), Datuk Mohd Arsad Bistari (Tempasuk) dan Datuk Ir Shahelmey Yahya (Tanjung Keramat).
© New Straits Times Press (M) Bhd



