Video lamalah… bukan di Jelebu

Video lamalah… bukan di Jelebu

am@hmetro.com.my

Jelebu: Tular video seekor harimau kumbang melintas jalan yang didakwa berlaku di Bukit Tangga, Jelebu, Negeri Sembilan.

Bagaimanapun Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan Faizal Izham Pikri berkata kejadian itu bukan berlaku di daerah Jelebu.

Katanya, jalan Seremban-Kuala Klawang di Bukit Tangga agak sesak hari ini dengan kenderaan menuju ke Seremban sedangkan di dalam video jalan sangat lenggang.

“Jadi video harimau kumbang melintas jalan itu bukan berlaku di sana.

“Malah kita juga membuat rondaan di laluan berkenaan bagi memastikan keselamatan pengguna sebelum mendapati laluan ini agak sesak pada hari ini.

“Orang ramai juga dinasihatkan tidak menyebarkan video yang tidak ditentukan kesahihan kerana boleh menyebabkan kegusaran kepada orang ramai,” katanya ketika dihubungi.

Semakan mendapati video tular berlaku pada 2021 dan dipercayai berlaku di Sarawak.

Sementara itu Faizal Izham menafikan harimau kumbang yang ditangkap di beberapa daerah di negeri ini sebelum ini dilepaskan di kawasan Bukit Tangga.

Tegasnya harimau kumbang yang ditangkap dihantar ke Pusat Konservasi Hidupan Liar di Sungkai, Perak.

“Selepas dirawat harimau kumbang kebiasaan dilepas ke kawasan hutan Taman Negara, justeru harimau yang ditangkap di negeri ini tidak dilepaskan di sini apatah lagi kawasan hutan adalah kecil,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top