[VIDEO] Lubuk lahir bakat baharu sukan bola sepak

[VIDEO] Lubuk lahir bakat baharu sukan bola sepak

Emran (tengah) bersama Hashim (kiri) bersama piala yang bakal menjadi rebutan pasukan dalam Kejohanan Bola Sepak Piala Datuk Mokhtar Dahari.

SHAH ALAM – Kejohanan Bola Sepak Piala Datuk Mokhtar Dahari (bawah 15) mampu menjadi lubuk dalam melahirkan bakat baharu dalam sukan bola sepak negara.

Pengerusi Jawatankuasa Induk Kejohanan, Datuk Emran Kadir berkata, kejohanan diilhamkan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah itu adalah kejohanan berprestij di peringkat sekolah.

Menurutnya, dengan penglibatan para pemain daripada 32 pasukan mewakili 10 daerah pendidikan, tidak mustahil ada permata baharu dikenal pasti dan dapat dibawa ke peringkat lebih tinggi.

“Kejohanan ini dimulakan pada 2016 dan 2022 merupakan tahun ke enam, namun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (Covid-19) tiada sebarang penganjuran.

“Jadi tahun ini merupakan edisi ke empat dan kaedah pelaksanaan kejohanan ini ialah kita memilih 32 pasukan mewakili sekolah dari daerah di seluruh Selangor.

“Kejohanan ini menggunakan format Piala Dunia sebelum lapan pasukan terpilih ke peringkat suku akhir, empat di peringkat separuh akhir dan dua pasukan di peringkat akhir pada 8 Oktober ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Studio F Kompleks Media Karangkraf bersama Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Induk Kejohanan itu, Hashim Anang.

Emran berkata, perlawanan akhir kejohanan ini akan berlangsung di Padang Bola Sepak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Seksyen 19 serentak dengan perasmian padang bola sepak itu.

Menurut Emran, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah dijangka berkenan mencemar duli merasmikan padang bola sepak seterusnya menyaksikan perlawanan akhir kejohanan.

“Kejohanan ini menawarkan hadiah iaitu RM8,000 bagi johan; RM6,000 (naib johan); RM4,000 (ketiga) dan RM2,000 (keempat),” katanya yang turut memaklumkan kejohanan itu ditaja oleh PNSB sejak awal lagi.

https://www.youtube.com/watch?v=iegIxMyo_dU