[VIDEO] “Nanti Saya Maklumkan” – Didakwa Dah Bertunang, Bella Astillah & Syed Saddiq Respons

[VIDEO] “Nanti Saya Maklumkan” – Didakwa Dah Bertunang, Bella Astillah & Syed Saddiq Respons

Pelakon dan penyanyi, Bella Astillah kekal dengan pendiriannya untuk tidak mengulas lanjut mengenai desas-desus hubungan istimewanya dengan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Enggan mengiyakan atau menafikan dakwaan mereka sudah bertunang, Bella atau nama sebenarnya Dayang Ara Nabella Awang Astillah, 31, lebih selesa membiarkan persoalan itu terus menjadi tanda tanya.

“Astarghfirullahalazim… Buat masa ini saya hanya mahu fokus kepada anak-anak. Nanti saya akan maklumkan,” katanya ringkas.

Bella berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Roadtour Skor A+ SPM 2025 Selangor yang berlangsung di Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam.

Penyanyi lagu Tapi Bukan Denganmu itu kini memberi keutamaan kepada dua cahaya matanya, Ayden dan Ara hasil perkahwinannya terdahulu.

Sementara itu, Syed Saddiq turut memilih pendekatan sama apabila ditanya mengenai hubungan mereka.

“Apa yang dikatakan Bella, saya kekalkan jawapan tersebut. Dalam hal ini, saya mohon semua doakan yang baik-baik.

“Bagi saya, kisah peribadi lebih baik dikekalkan dalam ruang lingkup keluarga agar kami berdua dapat terus fokus terhadap kerjaya dan tanggungjawab masing-masing.

“Apa yang bersifat peribadi, biarlah kekal peribadi. Yang umum, kita kekalkan untuk umum,” katanya.

Sebelum ini, kemesraan antara Bella dan Saddiq mencuri perhatian ramai apabila mereka beberapa kali dilihat tampil bersama di khalayak.

Malah, timbul spekulasi mendakwa pasangan ini bakal mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat.

Scroll to Top