Video Peluk Model Muslimah Tular, Kael Terbuka Terima Teguran – “Saya Minta Maaf, Niat Asal Hanya Untuk…”

Video Peluk Model Muslimah Tular, Kael Terbuka Terima Teguran – “Saya Minta Maaf, Niat Asal Hanya Untuk…”

Penyanyi dan pelakon, Kael akhirnya tampil memohon maaf susulan tularnya sebuah video memaparkan aksi mesra dirinya bersama bekas model muslimah dan pempengaruh media sosial, Engku Sulwani yang mengundang kecaman ramai.

Kael atau nama sebenarnya Michael Lean Chien menjelaskan, video berkenaan sebenarnya sebahagian daripada projek kreatif yang sedang diusahakan bersama Sulwani, bertujuan meneroka konsep cinta romantis dari perspektif seni dan sinematik.

“Saya sedar video itu mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan masyarakat, terutama dengan cara penyampaian dan pemakaian yang mungkin dianggap tidak sesuai. Tapi itu bukan niat saya.

“Niat asal hanyalah mahu mengekspresikan elemen visual dan sinematik. Namun, saya akui khilaf dan saya mohon maaf kepada semua yang terguris atau tersinggung,” katanya ketika dihubungi XTRA.

Dalam video berdurasi lebih 30 saat itu, Sulwani dilihat mengenakan busana ketat bersama hijab berona ungu, manakala Kael yang juga bekas peserta program realiti Lagu Cinta Kita hanya memakai baju tanpa lengan berwarna hitam.

Aksi mereka yang kelihatan mesra dan berpelukan telah mencetuskan perdebatan dalam kalangan netizen.

Tambah selebriti yang berbangsa Cina Peranakan Siam, dia tidak pernah berniat untuk mencabar sensitiviti netizen, sebaliknya mengakui setiap kritikan yang diterima menjadi ruang untuknya memperbaiki diri.

“Saya percaya segala kecaman ini hadir sebagai peringatan dan peluang untuk saya belajar. Saya tak boleh puaskan hati semua orang, tapi saya akan terus berusaha untuk jadi lebih baik dan hasilkan karya yang lebih matang dan jujur,” katanya lagi.

Sebelum ini, Kael dan Engku Sulwani pernah mencetuskan kontroversi apabila sebuah video mereka menari lagu APT turut menerima kecaman kerana dianggap tidak menjaga sensitiviti, terutamanya membabitkan isu agama.

Artikel Berkaitan: Warganet Kutuk Aksi Terlebih Mesra Kael & Model Muslimah… Siap Pakai Baju Ketat & Berpelukan

Artikel Berkaitan: Video Menari Lagu APT Bersama Engku Sulwani Dikritik Tak Senonoh, Ini Penjelasan Kael – “Tolong Berfikiran Terbuka”

Scroll to Top