Video pertengkaran lama ditularkan semula, Norhizam beri 24 jam tuntut nama dibersihkan

Video pertengkaran lama ditularkan semula, Norhizam beri 24 jam tuntut nama dibersihkan

am@hmetro.com.my

Melaka: Calon BERSATU bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee memberi tempoh 24 jam kepada pihak yang menyebarkan video mengaitkan dirinya dengan pertengkaran bersama anggota sebuah pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya membersihkan namanya dengan memohon maaf secara terbuka.

Beliau berkata, video yang tular menerusi platform Threads itu adalah rakaman lama, namun beliau tidak mengingati tarikh sebenar kejadian berkenaan.

Katanya, beliau tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang jika pihak terbabit gagal memberikan penjelasan atau membersihkan namanya dan memohon maaf secara terbuka dalam tempoh ditetapkan.

“Memang lama sangat gambar (video) itu. Saya beri tempoh 24 jam dari video itu mula ditularkan. Kalau nama saya tidak dibersihkan, tindakan undang-undang akan diambil.

“Saya tidak perlu kecoh-kecoh, undang-undang ada. Itu sahaja,” katanya ketika dihubungi.

Beliau mengulas video yang tular di platform Threads, yang didakwa memaparkan dirinya bertengkar dengan anggota sebuah PBT yang cuba merampas tanaman di dalam pasu di kawasan belakang rumahnya kerana dikatakan menghalang laluan.

Norhizam, yang juga bekas Naib Ketua Bahagian BERSATU Hang Tuah Jaya, menyifatkan penyebaran semula video itu menjejaskan reputasinya ketika kembali bertanding di kerusi DUN Pengkalan Batu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini.

Malah, beliau mendakwa tindakan itu seolah-olah satu bentuk ‘perang saraf’ kerana ada pihak yang bimbang dengan kemunculannya dalam persaingan politik di kawasan berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top