Video Pukul Pembantu Rumah Tersebar, Dua Pasangan Suami Isteri Ditahan Polis

Video Pukul Pembantu Rumah Tersebar, Dua Pasangan Suami Isteri Ditahan Polis

Trending

Polis turun mengesan 2 pembantu rumah yang melarikan diri, disyaki turut jadi mangsa dera.


Baru-baru ini, tular di media sosial beberapa rakaman video memaparkan seorang pembantu rumah dipukul kerana didakwa mengasari anak majikannya yang masih kecil.

Seorang lelaki dilihat mencederakan wanita itu sehingga menangis. Tiga lagi individu secara bergilir-gilir memarahi sambil meninggikan suara terhadap mangsa.

Dua lelaki dan dua wanita ditahan

Terbaru, Harian Metro melaporkan empat individu terbabit telah pun ditahan polis di sekitar Johor Bahru untuk siasatan lanjut.

Siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada 26 Julai tahun lalu di Taman Johor namun baru ditularkan baru-baru ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad memaklumkan, kesemua individu yang ditahan merupakan dua pasangan suami isteri berusia antara 30 hingga 34 tahun.

Mereka diberkas kira-kira jam 7.30 malam semalam hasil tindakan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor bersama Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara.

Polis turut mengambil beberapa barangan untuk membantu siasatan, termasuk telefon bimbit, pakaian suspek dan sebuah kamera litar tertutup.

Dua pasport milik wanita warga asing yang dipercayai bekerja sebagai pembantu rumah kepada salah satu pasangan turut dirampas.

Semakan rekod jenayah lampau mendapati semua suspek tidak memiliki rekod jenayah lampau dan ujian saringan awal air kencing ke atas semua suspek berkeputusan negatif. Permohonan reman ke atas semua suspek di bawah Seksyen 117 kanun tatacara jenayah akan dimohon di Mahkamah Johor Bahru pada hari ini selama sehari.

Polis jejak dua lagi pembantu rumah

pukul

Siasatan kes itu kini diperluaskan apabila polis mengesan kemungkinan terdapat lebih daripada seorang mangsa.

Selain mangsa, polis juga sedang mengesan dua lagi wanita yang juga merupakan pembantu rumah kepada suspek bagi membantu siasatan. Mereka juga dipercayai menjadi antara mangsa penderaan suspek serta merakamkan kejadian menimpa salah seorang pembantu rumah di kediaman sama.

Tambah polis, dua pembantu rumah itu dipercayai sudah melarikan diri serta masih berada di dalam negara. Setakat ini, punca di sebalik kejadian masih belum dikenal pasti dan terus disiasat oleh pihak berkuasa.

Kes disiasat mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 354 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia serta Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport.

Pssttt! Video lama yang baru tersebar bukan bermakna kes tersebut boleh dipandang ringan. Semoga semua mangsa segera ditemui dalam keadaan selamat dan siasatan dapat menentukan apa yang sebenarnya berlaku di kediaman berkenaan.

Kredit: Harian Metro
Reaksi netizen di Facebook, X, dan Instagram.

** Selain dari Whatsapp Channel, dapatkan kemaskini Oh! Media setiap hari terus ke emel melalui langganan percuma di bawah.

author avatar

Arini, Editor-In-Chief di Oh! Media, merupakan penulis sepenuh masa yang pakar dalam menghasilkan artikel berkaitan isu viral dan trending di media sosial, memastikan pembaca sentiasa mendapat maklumat yang terkini dan menarik.

Scroll to Top