Usahawan kosmetik terkenal, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini daripada empat pertuduhan memuat naik kandungan video sumbang bertajuk Kelepok Raya yang tular pada tahun 2022.
Keputusan itu dibuat oleh Hakim Ahmad Fuad Othman selepas meneliti hujahan tambahan yang dikemukakan pihak pendakwaan dan pembelaan.

Aliff Syukri, 38, sebelum ini didakwa memuat naik empat kandungan video berkenaan melalui akaun Instagram miliknya pada 13, 15, 17 dan 21 April 2022 dengan niat menyakiti hati orang lain.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Kontroversi tercetus pada tahun 2022 apabila muzik video lagu raya berdurasi 5 minit 23 saat itu menampilkan aksi keterlaluan beberapa penari lelaki yang dikritik sebagai tidak sesuai dengan sambutan Aidilfitri dan dikaitkan dengan unsur LGBT.




