Berkongsi keadaan terkini selepas kehilangan bayi sulung bulan lalu, pempengaruh Marissa Dania Hakim, 19, reda dengan ketentuan takdir.
Menurut Marissa, dia dan suami, Ahmad Aslam terus kuat untuk berdepan ujian mendatang.
“Tentulah kami sedih kerana kehilangan anak. Tapi saya dan suami kena kuat. Kini, saya dan suami okay.
“Kami bersama-sama mengharungi dugaan ini dan anggap dah tak ada rezeki, jadi nak buat macam mana? Doakan kami,” katanya.
Marissa ditemui XTRA usai acara perasminan perisa baru Berryfull bersama Abby Abadi di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur, pagi tadi.
Dalam pada itu, Marissa turut menegaskan dia tidak pernah ketepikan ibunya, pelakon Abby Abadi susulan dakwaan merahsiakan khabar pemergian bayi sulungnya pada Ogos lalu.
Menurut Marissa, khabar duka itu lambat diterima Abby kerana suaminya lebih selesa berinteraksi dengan bapanya, Norman Hakim.
“Mama tak tahu awal sebab suami lebih rapat dengan papa. Dia lebih selesa dengan papa, lelaki dengan lelaki. Itulah sebabnya. Dia banyak berinteraksi dengan papa dan ayahnya. Itu sahaja.
“Tapi, itu tidak bermaksud saya ketepikan mama. Akhirnya, mama dapat tahu sebab saya juga kongsikan dengan mama,” jelas Marissa.
Marissa berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran perisa baru Berryfull bersama Abby Abadi di Damansara pada Sabtu.
Tatkala disoal mengenai komen yang ditinggalkan di Instagram Abby yang meraih perhatian, Marissa berkata itu hanyalah gurauan terhadap ibunya.
“Mengenai komen yang saya tinggalkan di Instagram mama berkenaan mama tak membalas WhatsApp, tak ada apa pun sebenarnya. Memang saya nak menghubungi mama.
“Tetapi niat saya meninggalkan komen di Instagram mama ketika itu hanyalah untuk bergurau. Kami okay sahaja, tak ada apa pun,” katanya.
Terdahulu, Marissa sebelum ini dikejarkan ke sebuah hospital apabila mengadu sakit perut selepas menghadiri sebuah acara pelancaran produk.
Susulan itu, Marissa, 19, dilaporkan bersalin ketika usia kandungannya berusia enam bulan namun bayi pra matang dilahirkan tidak dapat diselamatkan dan meninggal dunia.
Marissa yang juga isteri kedua Ahmad Aslam sebelum itu dikatakan mengadu sakit perut sebelum dibawa ke hospital bagi menjalani pemeriksaan.
Begitupun, permata hati sulung mereka meninggal dunia ketika dilahirkan dan selamat dikebumikan sehari kemudian.
Marissa bernikah dengan Ahmad Aslam di Songkhla, Thailand pada 27 Disember 2023 sekali gus bergelar madu kepada isteri pertama lelaki terbabit iaitu Umisya Mazlan.




