mohdsyazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Persekutuan Bola Sepak Vietnam (VFF) dikatakan bersedia mengambil tindakan sekiranya keputusan Jawatankuasa Disiplin Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) memihak kepada Malaysia.
Menurut laporan portal TheThao247, VFF boleh mengemukakan petisyen rasmi kepada AFC dan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) jika keputusan itu berlaku.
Keadaan ini timbul berikutan kes tujuh pemain negara dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang kini dirujuk kepada Jawatankuasa Disiplin AFC, susulan keputusan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) terhadap rayuan yang dikemukakan oleh pemain terbabit.
“Seorang pemimpin VFF berpendapat bahawa keputusan AFC boleh memberi impak signifikan kepada kedudukan Kumpulan F.
“Jika Malaysia dipotong mata atau tidak dapat menggunakan pemain naturalisasi akibat hukuman disiplin, percaturan taktikal dan senarai pemain bagi pasukan dalam kumpulan tersebut mungkin akan berubah,” menurut laporan itu.
CAS mengekalkan hukuman penggantungan selama 12 bulan yang dikenakan ke atas tujuh pemain negara. Walaupun mereka tidak dibenarkan menyertai perlawanan rasmi, pemain masih dibenarkan menjalani latihan dan aktiviti bola sepak bersama pasukan masing-masing.
Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul John memaklumkan bahawa dua kod disiplin akan digunakan bagi kes ini iaitu Artikel 25 dan 56 Kod Etika dan Disiplin AFC.
Beliau menegaskan FAM tidak akan berdepan penggantungan daripada AFC kerana dua kod disiplin berkenaan tidak mengandungi klausa penggantungan.
Kes ini menjadi tumpuan peminat bola sepak di rantau ini kerana membabitkan isu pemain warisan dan naturalisasi yang kini mencetuskan perdebatan hangat di media sosial.
© New Straits Times Press (M) Bhd




