sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penyandang Presiden Persatuan Hoki Kuala Lumpur (PHKL), I Vikneswaran mengambil keputusan untuk membawa isu kekecohan ketika sesi Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) kali ke-28 kepada Pesuruhjaya Sukan (PJS) sebagai jalan terbaik untuk mengatasi segala kesulitan yang terjadi ketika ini.
Jelasnya, sesi pemilihan jawatankuasa baharu untuk PHKL sepatutnya berlangsung hari ini namun disebabkan beberapa perkara di luar kawalan terjadi, beliau mengambil keputusan untuk menangguhkan AGM untuk mengelak perkara buruk terjadi.
“Bila ada situasi seperti jerit menjerit, pertelingkahan menyebabkan sesetengah ahli gabungan terpaksa berpatah balik dan saya lihat perkara yang terjadi ini, ia tidak bagus untuk menjalankan AGM demi keselamatan semua orang yang ada.
“Kalau ada perkara yang tidak suka, kamu ada platform untuk mengadu kepada PJS dan boleh terus membuat aduan itu dan bukan datang, menjerit dan sebagainya. Saya lihat apa yang terjadi ini adalah di luar jangkaan.
“Ini semua membuang waktu untuk semua orang dan membazir masa kita untuk bersiap sedia, membazir masa ahli gabungan, media dan semua orang. Jadi, yang terbaik adalah saya beri kepada PJS, biar PJS buat keputusan,” katanya ketika ditemui selepas AGM PHKL hari ini.
Pada perkembangan yang sama, pencabar utama kerusi nombor satu PHKL, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharuddin mempersoalkan kenapa dirinya pada awalnya tidak dibenarkan masuk dan menghadiri sesi pemilihan itu sedangkan dia adalah ahli aktif Persatuan Pendidikan Sukan Hoki Kuala Lumpur (HockAcademy).
“Saya sudah berada dalam persatuan ini sejak 2019, bukan saya sahaja tetapi ahli gabungan yang lain juga tidak dapat masuk ke dalam dewan. Saya tidak faham kenapa perlu menghalang orang dan saya berharap perkara yang tidak sihat ini tidak berlaku,” katanya kepada media selepas AGM PHKL ditangguhkan.
Terdahulu, sebelum sesi pemilihan jawatankuasa baharu PHKL berlangsung, terjadi ketegangan kerana Megat dan beberapa calon yang lain tidak dibenarkan masuk untuk hadiri sesi pemilihan.
Kekecohan itu berlangsung hampir 10 minit sebelum keadaan kembali tenang seketika dan Megat dibenarkan masuk selepas mendapatkan kebenaran.
Difahamkan, punca utama Megat tidak dibenarkan masuk kerana tidak mempunyai pas kebenaran pada mulanya.
Namun begitu, kekecohan itu tidak terhenti di situ apabila keadaan di luar dewan juga dikatakan berlaku perang mulut antara calon yang bertanding bersama wakil PHKL.
© New Straits Times Press (M) Bhd



