ISTANBUL: Penantian tiga dekad akhirnya berakhir buat Aston Villa yang menutup musim paling luar biasa mereka dengan sentuhan emas apabila membelasah Freiburg 3-0 pada final Liga Eropah awal pagi tadi, sekali gus menamatkan kemarau trofi yang menghantui kelab itu sejak 1996.
Di pentas megah Stadium Besiktas, skuad kendalian Unai Emery tampil penuh kelas dan karakter apabila membenam wakil Jerman itu menerusi jaringan Youri Tielemans, Emiliano Buendia dan Morgan Rogers.
Lebih manis, kejayaan itu turut mengembalikan aura Eropah yang pernah mewarnai era kegemilangan Villa pada 1982, ketika mereka mengejutkan Bayern Munich untuk menjuarai Piala Eropah namun kali ini, generasi baharu Villa mencipta kisah tersendiri.
Tielemans menjadi arkitek pembuka pesta apabila meledak voli luar biasa pada minit ke-41 hasil gerakan licik sepakan penjuru pendek Rogers yang bukan sekadar cantik, malah hadir tepat pada waktu yang mematahkan semangat Freiburg.
Belum sempat lawan menarik nafas, Villa menambah luka apabila Buendia mengambil kesempatan atas kelalaian benteng Freiburg untuk melepaskan rembatan lencong sensasi dari luar kotak penalti beberapa saat sebelum rehat.
Tersentak dengan dua pukulan berturut-turut, Freiburg gagal bangkit selepas bersambung babak kedua namun Rogers pula memastikan malam gemilang Villa sempurna apabila menyudahkan hantaran Buendia pada minit ke-58.
Sorakan puluhan ribu penyokong Villa di Istanbul bergema sebaik wisel penamat ditiup, meraikan trofi pertama kelab itu dalam tempoh 30 tahun dan kejuaraan utama Eropah pertama sejak 44 tahun lalu.
Kejayaan itu turut mengukuhkan lagi status Emery sebagai pakar kejohanan Eropah dengan jurulatih dari Sepanyol itu kini sudah lima kali menjulang trofi Liga Europa, sekali gus mengesahkan reputasinya sebagai antara pengendali paling berbisa di pentas benua.
Lebih menarik, kejayaan ini melengkapkan kebangkitan luar biasa Villa sejak Emery mengambil alih pasukan pada Oktober 2022 ketika kelab itu hanya bergelut di kelompok bawahan liga.-AGENSI




