Villa mampu bangkit benam PSG

Villa mampu bangkit benam PSG

Birmingham, United Kingdom: Pengurus Aston Villa, Unai Emery, percaya pasukannya mampu bangkit dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) ketika Paris Saint-Germain (PSG) berkunjung ke Birmingham untuk aksi timbal balik suku akhir pada awal pagi Rabu ini dengan kelebihan agregat 3-1.

Walaupun Villa mendahului perlawanan di Parc des Princes minggu lalu, anak buah Emery gagal mengekalkan momentum dan menandingi skuad kendalian Luis Enrique yang kini mendominasi bola sepak Perancis.

Gol menarik daripada Desire Doue dan Khvicha Kvaratskhelia meletakkan PSG di hadapan sebelum Nuno Mendes menambah gol ketiga yang mungkin menjadi pemusnah harapan Villa pada masa kecederaan.

Cabaran menanti Villa sangat besar. PSG memenangi 17 daripada 18 perlawanan terakhir dalam semua kejohanan dengan satu-satunya kekalahan adalah tewas 0-1 kepada Liverpool dalam aksi pertama pusingan 16, yang mereka tebus di Anfield.

Mereka juga belum pernah tewas dengan lebih daripada satu gol sejak Oktober dan hanya tewas sekali dalam 47 perlawanan musim ini.

Namun, pengalaman Emery sendiri sebagai bekas jurulatih PSG memberi keyakinan segalanya mungkin dalam suasana bertekanan tinggi perlawanan kalah mati UCL.

Luis Enrique, ketika bersama Barcelona pernah bangkit daripada ketinggalan 0-4 menentang PSG kendalian Emery pada 2017 untuk menang 6-1, antara kebangkitan paling epik dalam sejarah kejohanan ini.

Kini, detik tersebut mungkin terbalik dan Emery pula mengintai kebangkitan bersejarah untuk meneruskan kemaraan Villa dalam kejohanan elit Eropah buat kali pertama sejak musim 1982/83.

“Kami akan menikmati suasana istimewa di Villa Park pada Selasa (awal pagi Rabu) untuk penyokong kami dan untuk diri sendiri,” kata Emery.

“Kami ada peluang ketika menentang PSG dan cuba bangkit. Sudah tentu ia akan menjadi sukar, tetapi kami mesti berasa kuat di tempat sendiri dan bersedia sebaik mungkin untuk perlawanan itu.

“Kami juga mahu salurkan tenaga kami kepada penyokong, dan ambil tenaga mereka kembali, lalu bermain bola sepak terbaik kami. Bila kami bermain bola sepak terbaik musim ini, kami boleh capai sesuatu.”

Villa juga sedang berada dalam prestasi mengagumkan apabila masih bersaing dalam tiga kejohanan menjelang minggu-minggu terakhir musim ini.

Pasukan Emery menang 3-0 ke atas Southampton pada Sabtu untuk menghampiri tempat UCL musim depan dan bakal berdepan Crystal Palace pada separuh akhir Piala FA hujung bulan ini.

Pembelian pemain pada Januari seperti Marcus Rashford, Marco Asensio, Donyell Malen, dan Axel Disasi memberi impak besar terhadap kekuatan keseluruhan skuad Emery.

Kelebihan itu dapat dilihat apabila ketiga-tiga gol Villa pada hujung minggu lalu menerusi Ollie Watkins, Malen, dan John McGinn dijaringkan pemain gantian.

“Kami tidak meraih banyak mata pada awal musim kerana kami tidak cukup pemain di bangku simpanan,” tambah Emery.

“Empat pemain yang kami bawa masuk semasa jendela perpindahan benar-benar membantu dan meningkatkan tahap daya saing kami untuk mendapatkan mata seperti sekarang.”

Emery turut percaya suasana di Villa Park mampu memberi dorongan tambahan kepada pemain untuk aksi awal pagi Rabu ini.

Villa belum tewas dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) mahupun UCL di tempat sendiri sejak tewas 0-2 kepada Arsenal pada Ogos dengan Arsenal mungkin menanti di separuh akhir.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top