Villa teruskan rentak luar biasa tewaskan City

Villa teruskan rentak luar biasa tewaskan City

London: Aston Villa menewaskan juara bertahan Manchester City awal pagi tadi untuk meneruskan kemenangan luar biasa mereka di tempat sendiri ketika Liverpool merapatkan jurang kedudukan kepada dua mata di belakang pendahulu Arsenal selepas kemenangan di Sheffield United.

Sementara itu Scott McTominay menjaringkan dua gol buat Manchester United membenam Chelsea 2-1 dan Fulham menewaskan Nottingham Forest 5-0, menambah lagi tekanan kepada pengurus, Steve Cooper.

Villa yang kini memenangi 14 perlawanan liga berturut-turut di Villa Park, menjaringkan gol tunggal permainan pada minit ke-74, apabila rembatan Leon Bailey melencong lalu terkena Ruben Dias.

Kemenangan itu, membolehkan anak buah Unai Emery mendaki ke kedudukan ketiga, menyamai rekod kelab untuk kemenangan di tempat sendiri secara berturut-turut dalam saingan liga yang sebelum ini dicapai pada 1903 dan 1931.

“Ia sangat istimewa,” kata penjaring gol Bailey.

“Pada malam seperti ini ia lebih istimewa. Mendapatkan kemenangan dengan menjaringkan gol, ia adalah satu perasaan yang luar biasa.

“Saya tidak boleh menggambarkannya dengan kata-kata bagaimana perasaan saya sekarang. Kami menunjukkan watak yang hebat dan bekerja keras untuk mendapatkan tiga mata ini.”

Pasukan Pep Guardiola yang menyasarkan kejuaraan liga utama buat kali keempat berturut-turut yang belum pernah berlaku sebelum ini, masih gagal mencapai kemenangan dalam empat perlawanan dan ketinggalan enam mata di belakang Arsenal.

Pemenang tiga trofi tahun lalu itu, kehilangan Rodri yang digantung, hanya memenangi tiga perlawanan liga dalam sembilan perlawanan terakhir mereka.

Mereka tidak tewas dalam 43 perlawanan terakhir mereka ketika pemain tengah Sepanyol itu beraksi tetapi empat kekalahan mereka dalam semua pertandingan musim ini semuanya datang selepas Rodri menjalani hukuman penggantungan.

© New Straits Times Press (M) Bhd