Kuala Lumpur: Saingan Asics Meta Time Trials Thailand 2024 yang kembali ke Thailand bagi ulang tahun ketiga menyaksikan pelari negara, G Vimal berjaya mencuri tumpuan.
Vimal dalam kalangan 41 orang atlet Asics mencuri perhatian apabila mencatat rekod peribadi terbaik 31.55 minit dan meraih tempat ketiga bagi kategori Jemputan Lelaki 10 kilometer (km).
Dia mencatat masa 7 saat lebih pantas dari rekod sebelumnya yang dilakukan dua tahun lalu.
Pemuda berusia 30 tahun dari Matang, dekat Taiping, mengaitkan kejayaan di podium serantau ini disebabkan peningkatan jarak mingguan ketika dia bersiap sedia untuk debut maraton di Kuala Lumpur Standard Chartered yang akan berlangsung dua minggu lagi.
Pingat emas dalam acara berkenaan diraih Sonny Wagdos dari Filipina dengan catatan masa 31.29 minit, diikuti oleh rakan senegaranya, Richard Salano 31.32 minit.
Kontinjen Malaysia di garisan permulaan menampilkan atlet kebangsaan dan pelari terbaik termasuk Tahira Najmunisaa, Nik Fakaruddin, Muhaizar Mohamad, Amelia Noor Musa, Ziq Junaidy, Poovasanthan, Haziq Hamzah, Michelle Chua, Joline Tan, Izuan Ismail, Allison Yee, Faez Farhat, Zukhairi Ahmad, dan ramai lagi.
Menurut Pengarah Pemasaran Kanan Serantau Asics Asia Pte Ltd Gabriel Yap berkata, mereka melihat tenaga luar biasa dan dedikasi semua pelari dari seluruh rantau.
“Mereka berkumpul untuk menunjukkan tekad mereka untuk melampaui batas sambil menikmati masa yang hebat dalam suasana yang gembira ini. Apa yang selalu ditawarkan oleh komuniti pelari ini adalah keseronokan dan perpaduan serta bagaimana mereka dibenarkan untuk meraikan kekuatan pada tubuh dan minda.
“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua pelari dan terima kasih kerana menjadi sebahagian daripada perlumbaan tahun ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




