
Pengarah Urusan Vince Group, Datuk Vincent Nee (dua dari kiri) berjabat tangan bersama Ketua Pegawai Eksekutif Crewstone, Datuk Izmir Mujab pada majlis pemeteraian perjanjian antara dua syarikat tersebut di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
PETALING JAYA – Kerjasama antara firma ekuiti swasta, Crewstone International dan penyedia perkhidmatan hartanah, Vince Group, membuahkan hasil apabila berjaya mengumpul pelaburan sebanyak RM35 juta dalam tempoh kurang dua minggu.
Jumlah dana tersebut bakal dilaburkan sepenuhnya dalam sektor hartanah tempatan menerusi penubuhan Vince Group Vision Fund L.P. yang didaftarkan secara rasmi hanya sebulan selepas kedua-dua pihak menandatangani perjanjian pada 19 Mac lalu.
Menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan, dana itu didaftarkan dengan Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan, sekali gus memperlihatkan kelancaran proses dan profesionalisme kedua-dua syarikat dalam membentuk kerjasama strategik.
“Dengan rangkaian luas Crewstone, pergerakan pelaburan yang agresif serta kepakaran pasukan, kami berjaya menarik pelabur dan mengumpul RM35 juta dalam masa singkat selepas pendaftaran dana,” katanya.
Kedua-dua syarikat juga menjelaskan, pencapaian tersebut menunjukkan keyakinan tinggi pelabur terhadap visi Vince Group untuk membangunkan ekosistem hartanah bersepadu pertama di Malaysia.
“Pelabur optimis dengan potensi kami untuk menawarkan platform menyeluruh dalam pelaburan dan pengurusan hartanah secara hujung ke hujung.
“Fokus dana ini adalah kepada pembelian hartanah bernilai tinggi untuk diubah suai dan dijual semula dengan strategi penggunaan modal yang cekap dan menjana pulangan maksimum.
“Selain itu, pelanggan juga bakal menerima perkhidmatan sebelum dan selepas jualan bertaraf premium, bagi memastikan pengalaman pelaburan dan pembelian hartanah yang lebih lancar dan menyeluruh,” katanya lagi.