Adelaide: Pelumba Australia, Jay Vine, menjuarai Tour Down Under walaupun mengalami patah pergelangan tangan selepas terjatuh dari basikal akibat dilanggar kanggaru pada peringkat kelima dan terakhir, menurut pasukannya, UAE Team Emirates-XRG.
Vine adalah salah seorang pelumba yang terbabit dalam kemalangan disebabkan haiwan itu.
Namun dia bangkit semula dan berjaya mengekalkan kedudukan keseluruhan, memenangi perlumbaan dengan kelebihan lebih satu minit sahaja.
Kanggaru itu dilaporkan terhincut-hincut meninggalkan lokasi kemalangan.
“Selepas perlumbaan, Jay melaporkan sakit pada pergelangan tangannya akibat kemalangan di peringkat terakhir.
“Hasil pemeriksaan perubatan mendapati dia mengalami patah yang serius di pergelangan tangan kiri,” kata doktor pasukan, Adrian Rotunno dalam satu kenyataan.
Pelumba berusia 30 tahun itu selamat menjalani pembedahan, semalam.
“Dia akan dikeluarkan daripada sebarang pertandingan bagi tujuan pemulihan dan rehabilitasi pasca pembedahan,” kata pasukannya.
Tour Down Under adalah acara pembukaan World Tour 2026, yang akan disusuli dengan perlumbaan Great Ocean Road Race, Ahad ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




