Vinicius buat City menangis

Vinicius buat City menangis

Manchester, England: Real Madrid mara ke suku akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) selepas Vinicius Junior menjaringkan dua gol ketika menang 2-1 atas Manchester City yang beraksi dengan 10 pemain di Stadium Etihad, awal pagi tadi sekali gus melengkapkan kemenangan agregat 5-1.

Ini musim ketiga berturut-turut Real Madrid menyingkirkan City dari Liga Juara-Juara.

Vinicius meletakkan pelawat di depan menerusi sepakan penalti pada minit ke-22 selepas VAR mendapati Bernardo Silva menghalang bola dengan tangan di garisan gol. Keputusan itu juga menyebabkan City bermain dengan 10 orang, menjadikan tugas mereka semakin sukar.

Vinicius yang sebelum itu hampir menjaringkan gol apabila percubaannya terkena tiang, turut membuat isyarat “menangis” ke arah penyokong City.

“Kali terakhir kami datang ke sini, penyokong Manchester City mengejek saya (mereka mengangkat sepanduk ‘henti menangis’ selepas Rodri memenangi Ballon d’Or 2024 mengatasi saya),” kata Vinicius.

“Saya tidak berniat menghina penyokong City, itu hanya cara untuk saya buktikan kemampuan.”

Anak buah Pep Guardiola tidak mudah mengalah apabila Erling Haaland menyamakan kedudukan pada minit ke-41, jaringan pertamanya sejak 11 Februari, selepas menyempurnakan hantaran Jeremy Doku dari jarak dekat.

Namun, dengan kelebihan besar dari perlawanan pertama, peluang kebangkitan City tidak pernah benar-benar menjadi kenyataan.

Beberapa gol pada separuh masa kedua dibatalkan, melibatkan Doku, Rayan Ait-Nouri, serta pemain Real Federico Valverde dan Vinicius.

Vinicius melengkapkan dua jaringannya pada minit ke-93 dengan sentuhan voli selepas menerima hantaran Aurelien Tchouameni, yang gagal diselamatkan penjaga gol Gianluigi Donnarumma.

City turut menuntut penalti pada separuh masa pertama selepas bola terkena tangan Fran Garcia, manakala penyokong Real pula berang apabila Kylian Mbappe, yang kembali beraksi selepas kecederaan lutut, dijatuhkan dalam kotak penalti.

Juara 15 kali Eropah itu sebelum ini sudah meletakkan satu kaki ke suku akhir selepas menang 3-0 dalam aksi pertama di Madrid hasil hatrik Valverde.

“Baik, 3-0 memang hampir mustahil, tapi cuba juga,” kata Guardiola. “Kami sudah berusaha tapi ya, 5-1, tahniah kepada Madrid lagi. Masa depan cerah, musim depan kami akan kembali.”

Jurulatih Real, Alvaro Arbeloa, gembira dengan prestasi pasukannya.

“Ia perlawanan g sangat sukar menentang pasukan penuh bakat seperti ini. Kami gembira dengan prestasi dan perjalanan ini diteruskan,” katanya.

Ketika ditanya mengenai kemenangan ke atas Guardiola, Arbeloa merendah diri.

“Saya tidak berani mengatakan saya boleh menewaskan Pep Guardiola dari segi taktikal. Dia jurulatih elit, sudah memenangi banyak trofi.

“Apa yang kami menangi hanyalah satu perlawanan ini. Saya rasa pemain layak mendapat pujian atas usaha mereka.”

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top