Virgoun nafi kenyataan ibu wakili dirinya

Virgoun nafi kenyataan ibu wakili dirinya

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Penyanyi Indonesia, Virgoun Tambunan membuat penafian terhadap kenyataan ibunya, Eva H Munurung dalam temubual kepada media tidak mewakili dirinya sebagai individu.

Menerusi hantaran dimuatnaik Virgoun, 40, di Instagram (IG), penyanyi lagu Surat Cinta Untuk Starla itu memaklumkan semoga kenyataan dikongsinya menjelaskan situasi berkaitan anak-anaknya dan bekas isteri.

“Disclaimer! Dengan ini saya menyampaikan apa pun pernyataan yang disampaikan ibu saya (Eva H Munurung) dalam setiap wawancara kepada media dalam 2 bulan terakhir juga untuk ke depannya tidaklah merepresentasikan atau mewakili diri saya sebagai individu.

“Semoga dengan pernyataan saya ini dapat membuat yang bersangkutan untuk bisa (boleh) lebih bijak lagi dalam bernarasi dan menjawab pertanyaan media terutama yang menyangkut anak-anak dan ibu dari anak-anak..demi kebaikan anak-anak saya kelak,” tulisnya pada hantaran itu.

Meninjau di ruangan komen, rata-rata netizen Indonesia menjelaskan mereka berpihak kepada Eva di atas kenyataan pernah dibuat wanita itu yang disifatkan sangat menghiburkan.

Difahamkan sebelum ini, Eva tampil bersuara mengenai bekas isteri Virgoun iaitu Inara Rusli, 32, yang didakwa melakukan keganasan secara fizikal terhadap cucunya.

Eva turut mencabar Inara untuk membuka rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sebagai bukti atas dakwaan berkenaan sekali gus memberi isyarat bahawa Virgoun akan berjuang untuk hak penjagaan anak demi keselamatan mereka.

Terdahulu, Virgoun pernah berkahwin dengan Inara pada 14 Disember 2014, namun bercerai pada 2023. Mereka dikurniakan tiga anak yang kini di bawah jagaan bekas isterinya itu.

Bagaimanapun, Inara menjadi perhatian ramai selepas timbul dakwaan berkahwin dengan suami orang dan dia tampil mengesahkannya bahawa pernikahan itu berlaku pada 7 Ogos tahun lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top