Virus ganggu persiapan Chelsea

Virus ganggu persiapan Chelsea

London: Chelsea sedang berusaha memastikan lebih ramai pemain tidak terjejas akibat jangkitan penyakit yang menyisihkan Liam Delap dan Jamie Gittens, selain beberapa kakitangan kelab, menjelang pertemuan Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Brentford, kata ketua jurulatih, Liam Rosenior, pada Khamis.

Penyerang, Delap, dan pemain sayap, Gittens, terlepas aksi kekalahan 3-2 Chelsea kepada Arsenal pada separuh akhir pertama Piala Liga, Rabu lalu, dengan Rosenior memaklumkan selepas perlawanan bahawa kedua-dua pemain mengalami “demam yang sangat tinggi”.

“Liam (Delap) masih berada di rumah ketika ini, begitu juga Jamie Gittens. Doktor kelab melakukan segala usaha untuk mengawal apa yang kelihatan seperti jangkitan virus kerana beberapa kakitangan kami turut terjejas.

“Kami mengadakan pertemuan dengan pemain hari ini mengenai amalan mencuci tangan dan perkara asas lain yang sangat penting.

“Harapnya kami dapat mengawalnya. Kami berdepan jadual padat, jadi semua pemain perlu bersedia, cergas dan berada dalam keadaan sihat,” kata Rosenior.

Chelsea, yang hanya mencatat satu kemenangan dalam sembilan perlawanan EPL, berdepan tekanan untuk mengembalikan momentum apabila menerima kunjungan Brentford yang berada di tangga kelima Sabtu ini.

Skuad The Blues berpotensi menerima suntikan semangat dengan kembalinya tonggak utama, Reece James dan Cole Palmer, yang terlepas aksi Piala FA menentang Charlton Athletic serta perlawanan bertemu Arsenal selepas mengalami kecederaan ringan minggu lalu.

“Kedua-dua mereka menjalani latihan hari ini.

“Kami perlu menilai keadaan mereka selepas latihan dan memastikan semua protokol dipatuhi, namun kehadiran mereka dalam skuad sangat dialu-alukan dan setakat ini, ia kelihatan berkemungkinan,” kata Rosenior.

Pengendali dari England itu turut diajukan soalan sama ada pilihan penjaga gol utamanya berubah susulan dua kesilapan mahal Robert Sanchez ketika menentang Arsenal.

Sanchez gagal mengawal sepakan penjuru Declan Rice pada minit ketujuh, yang membolehkan Ben White menjaringkan gol pembukaan. Penjaga gol itu kemudian terlepas tangkapan hantaran White pada awal babak kedua, sebelum Viktor Gyokeres menyudahkannya pada minit ke-49.

“Saya berada di sini untuk menilai setiap posisi. Saya tidak bekerja dengan konsep pemain nombor satu atau nombor dua,” kata Rosenior.

“Di setiap kelab yang saya kendalikan, persaingan perlu wujud. Bukan hanya di posisi penjaga gol, tetapi di semua posisi di atas padang, dan setiap pemain perlu membuktikan kelayakan mereka untuk berada dalam pasukan ini.”

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top