Virus perosak walak

PADA siri ini, kita akan mengenali pula gejala-gejala songsang yang boleh merosakkan walak. Berdasarkan penulisan ulamak-ulamak haraki yang membincangkan mengenai kerosakan yang berlaku dalam jamaah, kita dapat mengenalpasti beberapa gejala yang memberi kesan kepada walak sebagaimana berikut:

TAASUB

Taasub adalah seerti dengan Asabiyyah. Nabi menjelaskan maksud Asabiyyah:

Advertisement

أن تعين أخاك على ظلم

“Kamu membela saudaramu atas dasar kezaliman.”

Taasub adalah pelampauan terhadap erti berjamaah. Memberikan taat setia kepada makhluk melebihi had yang sepatutnya. Sedangkan sebagaimana dibincangkan pada siri 2, walak kepada orang beriman adalah pada tahap 3 setelah Allah dan Rasul. Walak kepada orang beriman pula tertakluk kepada 3 kriteria khusus, bukan mutlak.

Apabila taasub merajai diri, kita cenderung untuk membela saudara kita tanpa mengambil kira adakah mereka benar atau salah. Kita terima segala alasan dan hujah mereka tanpa menilai atas landasan ilmu yang sepatutnya.

Kerana taasub juga, kita cenderung untuk menolak segala kebenaran yang datang bukan dari pihak kita. Kita anggap yang benar hanya dari pihak kita sahaja. Kerana itulah Allah menegur dengan firmanNya:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُونُواْ قَوَّٰمِينَ لِلَّهِ شُهَدَآءَ بِٱلۡقِسۡطِۖ وَلَا يَجۡرِمَنَّكُمۡ شَنَـَٔانُ قَوۡمٍ عَلَىٰٓ أَلَّا تَعۡدِلُواْۚ ٱعۡدِلُواْ هُوَ أَقۡرَبُ لِلتَّقۡوَىٰۖ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرُۢ بِمَا تَعۡمَلُونَ

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.”

(al-Ma’idah: 8)

Intima’ Syakhsi

Walak juga boleh rosak apabila kekaguman kita terhadap mana-mana individu dalam jamaah sehingga ke tahap mengquduskan mereka melebihi had. Sampai ke tahap mustahil mereka akan buat kesilapan. Perlu bersetuju dengan semua pandangannya.

Sehebat manapun seseorang tokoh itu, mereka sentiasa berperang dengan syaitan yang tidak henti-henti cuba memesongkannya. Walaupun sehingga ke hari ini mereka masih tidak terpesong, ia bukan jaminan mereka tidak akan terpesong selama-lamanya.

Walaupun mereka telah terbukti istiqamah sehingga ke akhir hayat, ia juga bukan alasan untuk kita meletakkan ‘pengabdian’ kepada mereka. Walaupun individu lain tidak sehebatnya, jamaah ini bersifat kolektif. Konsep walak bukan kepada individu walaupun beliau orang no.1 dalam jamaah.

Kekaguman terhadap tokoh menyebabkan anggota jamaah menjadi tidak kritis dan bergantung kepada tokoh itu sahaja. Hanya mengikut sahaja tanpa cuba meneroka pendekatan dan pandangan baharu. Sedangkan tokoh itu manusia biasa, pasti ada perkara yang mereka tak nampak dan memerlukan pandangan lain.

Jika gejala ini tidak dikikis awal, bimbang kita akan jadi seperti pengikut Nabi Isa, Nabi-nabi terdahulu dan tokoh kumpulan. Mereka terlalu mengagungkan pemimpin sehingga lupa pemimpin itu sekadar membawa risalah tuhan, bukan membawa ajaran mereka sendiri.

Jika gejala ini tidak diubati, bimbang tercetus situasi seperti selepas kewafatan Rasulullah S.A.W. Ada Sahabat pada awalnya tidak boleh terima kenyataan kewafatannya dan menganggap segalanya sudah berakhir. Ada segolongan yang terus murtad dengan alasan Muhammad telah tiada.

Agenda peribadi

Walak juga boleh tercemar sekiranya kita memiliki agenda sendiri dalam jamaah. Tidak kiralah sama ada agenda kerana harta, takhta atau apa sahaja yang memberi keuntungan kepada diri sendiri.

Gejala ini lahir daripada kecacatan ikhlas dalam diri anggota jamaah. Berjuang tidak meletakkan Allah di tempat nombor 1, tapi melebihkan matlamat lain. Kita telah bincangkan perihal ini dalam siri 3; Walak dari perspektif Rukun Baiah.

Ikhlas perlu dijaga sepanjang masa. Boleh jadi kita betul-betul ikhlas pada awal kita menganggotai jamaah kerana belum diuji. Tetapi bila kita diuji pada posisi kemasyhuran, kekayaan dan kedudukan, kita rasa seronok lalu ikhlas kita berubah haluan kepada mengejar dan menjaga posisi yang telah kita perolehi.

Dengan wujudnya agenda peribadi, seseorang itu mudah menerima tawaran musuh untuk merosakkan jamaah ini. Menjadi tali barut menjayakan agenda musuh demi keuntungan peribadi.

Keterpesongan ini mungkin tidak akan beri kesan kepada jamaah jika maslahah jamaah selari dengan maslahah peribadi. Tetapi bila berlaku pertembungan antara dua maslahah ini, kita akan cenderung untuk mengutamakan maslahah peribadi dengan mencipta berbagai alasan syar’ie lain.

Apabila agenda peribadi kita tidak dipenuhi, masa itu juga walak akan tercabar. Kita mula mempertikai, mengeluh dan membantah jamaah. Walaupun pertikaian kita berasas, namun ia tidak lahir dari kesedaran yang betul, sebaliknya kerana tak dapat apa yang kita mahu. Tanya diri sendiri, jika kita dapat apa kita mahu, adakah kita masih pertikaikan seperti sebelum ini?

Melebihkan pihak lain

Kadang kala kita tidak memiliki kepentingan peribadi. Tetapi kita kalah dengan sentimen kekeluargaan seperti anak, isteri dan orang tua. Perkara ini turut mencatatkan walak.

Contohnya seperti kisah Hatib bin Abi Baltaah. Ketetapan Islam ketika itu yang mahu membuka Kota Makkah dilihat merugikan keluarga Hatib yang berada di Makkah. Lalu beliau sanggup membocorkan agenda Nabi itu kepada Musyrikin Quraisy semata-mata untuk menjamin keselamatan keluarganya. Kerana itulah Nabi bersabda:

لا يؤمن أحدكم حتى أكون أحب إليه من والده وولده والناس أجمعين 

“Tidak beriman seseorang itu hinggalah aku lebih dikasihi berbanding ibu bapanya, anaknya bahkan manusia seluruhnya!”

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Kerana itulah penegasan Allah ini perlu direnungkan:

قُلۡ إِن كَانَ ءَابَآؤُكُمۡ وَأَبۡنَآؤُكُمۡ وَإِخۡوَٰنُكُمۡ وَأَزۡوَٰجُكُمۡ وَعَشِيرَتُكُمۡ وَأَمۡوَٰلٌ ٱقۡتَرَفۡتُمُوهَا وَتِجَٰرَةٞ تَخۡشَوۡنَ كَسَادَهَا وَمَسَٰكِنُ تَرۡضَوۡنَهَآ أَحَبَّ إِلَيۡكُم مِّنَ ٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ وَجِهَادٖ فِي سَبِيلِهِۦ فَتَرَبَّصُواْ حَتَّىٰ يَأۡتِيَ ٱللَّهُ بِأَمۡرِهِۦۗ وَٱللَّهُ لَا يَهۡدِي ٱلۡقَوۡمَ ٱلۡفَٰسِقِينَ

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, – (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk ugamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka).

(at-Tawbah: 24)

Semangat tanpa ilmu

Walak yang sebenar adalah kesetiaan kepada Islam. Hatta kesetiaan kita kepada jamaah ini pun kerana tuntutan Islam. Islam adalah set ajaran yang datang daripada Allah. Ia perlu difahami dengan manhaj ilmu yang betul.

Ramai merasa selesa dengan hanya menggabungkan diri dengan jamaah, mereka telah memenuhi segala tuntutan Islam. Lalu mengabaikan kepentingan untuk mendalami Islam itu sendiri. Segala yang berkait dengan jamaah dianggap dari ajaran Islam belaka, sedangkan hakikatnya ia adalah ijtihad-ijtihad manusia biasa yang tidak terlepas dari silap.

Sikap inilah yang mudah dimanipulasi pihak berkepentingan. Tanpa ilmu, kita mudah termakan propaganda dari luar ataupun dalam. Kita sukar mengesan kepincangan yang berlaku, yang akhirnya membawa kepada taklid buta atau menjayakan agenda musuh.

Tanpa ilmu yang menjadi kompas walak, kesetiaan kita mudah dieksploitasi atas nama walak. “Jangan fikir. Ikut sahaja!”. 

Tidak dinafikan ada masa-masa tertentu kita perlu patuh dahulu, tetapi ia hanyalah dalam kes-kes terpencil. Secara normal, kesetiaan ini bergantung kepada kefahaman sebelum tindakan, sebagaimana slogan ‘wehdatul fikr wa wehdatul amal’. Program tarbiah seperti Liqa Fikr, Muktamar, Mesyuarat, Nadwah, Daurah, Munaqasyah semuanya bertindak untuk memahami justifikasi pergerakan jamaah ini mengikut ajaran Islam.

Ego

Ironinya, memiliki ilmu juga tidak menjamin walak jika urusan hati tidak dijaga. Iblis adalah contoh tegar bagaimana pengetahuan semata tidak menghalang bukan sahaja tidak walak, malah sanggup kufur kerana penyakit hati iaitu ego, sombong dan dendam.

Ego sering berlaku pada golongan berilmu. Merasakan diri sahaja betul sehingga tidak boleh menerima kesalahan. Sanggup mencari berbagai hujah membenarkan pendapat dan tindakan, walaupun diri sendiri tahu mereka telah tersasar.

Ego mencemarkan walak boleh berlaku dalam situasi jika bertembung antara pandangan sendiri dan maslahah jamaah. Sebelum itu kita beranggapan pandangan sendiri adalah baik untuk jamaah. Tetapi setelah dibincangkan, ada pandangan lain yang lebih baik untuk jamaah namun kita masih pertahankan pandangan kita.

Sedangkan dalam perkara ijtihadiyyah, kita perlu akur pada keputusan akhir dan menganggap ia adalah keputusan kita juga. Walaupun pada pandangan awal kita, ia tidak baik.

Kalau sampai ada perasaan ‘Padan muka. Aku kata dulu tak mahu dengar’. Itu bermakna walak kita telah tercemar. Ego turut membawa futur. Sanggup keluar jamaah kerana mempertahankan pandangan peribadi. Kononnya jamaah telah rosak hanya kerana tak ikut pandangan kita dalam perkara ijtihadiyyah. Itulah kesan terbesar ego terhadap wala’.

Makan budi

Sisi lain yang boleh menghakis walak adalah kerana terlalu menghargai pihak yang berbuat baik kepada kita. Bila pihak tersebut menyeleweng, kita tak sampai hati nak bertegas kepada mereka.

Biasanya, ia mudah berlaku kepada para murabitun. Termakan budi pada yang membiayai kita sepanjang kita berada dalam perjuangan. Bila pembiaya itu mula menyongsang, kita cenderung mengikuti dia atas jasanya terhadap kita.

Ia juga boleh berlaku pada mereka yang mendapat biaya luar seperti majikan tempat mereka bekerja, dermawan yang memberikan mereka belanja tetap, atau rakan kongsi perniagaan. Kerana sayang semua itu terlepas, kita boleh menggadaikan walak.

Ukhuwwah dan tahaluf

Selain makan budi, sentimen persaudaraan yang tidak difahami dengan betul juga boleh menjerumuskan diri kepada masalah walak. Sahabat setia kita atau kumpulan usrah kita yang berjuang bersama sejak dari awal, bila semua menyongsang kita terikut untuk songsang tanpa mempedulikan lagi perspektif kebenaran dan konsep berjamaah sebenar.

Bertahalluf juga boleh mencemarkan walak jika tidak dijaga batasnya. Berkawan dengan rakan dari luar jamaah yang asalnya hanya mendekati kita atas titik-titik persamaan agenda perjuangan yang kecil, mula mempengaruhi fikrah asal perjuangan kita. Sepatutnya antara matlamat tahalluf adalah mengajak rakan tahalluf memahami kebenaran perjuangan kita. Tetapi berapa ramai mula mengalihkan walak kepada rakan tahalluf setelah lama berkawan.

Jamaah dalam jamaah

Wujudnya entiti kecil dalam jamaah seperti klik, kumpulan, geng atau apa sahaja tidak dapat dielakkan dalam jamaah yang besar. Sekiranya ia meletakkan kepentingan jamaah yang tertinggi dan tidak melebihkan geng sendiri berbanding yang lain, ia boleh membantu melicinkan jamaah seperti peranan sebenar unit-unit usrah.

Malangnya kewujudan entiti ini biasanya beragenda mengangkat geng-geng sendiri. Melobi untuk jawatan, mengutamakan bila ada peluang, memihak buta bila bertembung dan berbagai lagi. Ia sedikit sebanyak mencemar walak kepada jamaah apabila tidak meletakkan yang terbaik dan terlayak untuk diangkat, sebaliknya atas nama klik didahulukan. Sedikit sebanyak umpama gejala asobiyyah dalam bentuk kabilah.

Kewujudan NGO tajaan jamaah juga boleh menjadi punca hakisan walak jika tidak diurus dengan betul. Asalnya mewujudkan NGO untuk bantu jamaah, tetapi bila sudah ada pengaruh, dana dan organisasi yang kuat, NGO itu mula membentuk walak tersendiri.

Ugutan

Ini adalah cara kotor musuh untuk merosakkan jamaah ini. Mereka fokuskan kepada individu-individu dalam jamaah untuk menjayakan agenda menghancurkan jamaah. Musuh akan cuba mencari kelemahan dan kesalahan yang dilakukan individu dalam jamaah samada sengaja atau tidak sengaja, lalu menjadikan perkara itu sebagai ugutan supaya mengikut kehendak mereka.

Ia boleh jadi dalam bentuk kesalahan jenayah, isu yang melibatkan maruah, kerugian harta bahkan keselamatan diri dan orang tersayang juga. Oleh itu anggota jamaah perlu sentiasa menjaga diri dari sebarang perkara yang boleh dijadikan bahan ugutan di kemudian hari.

Pengalaman anggota jamaah Islam di serata dunia menunjukkan gejala ini. Kerana takutkan ugutan, sanggup menjadi tali barut musuh. Sepatutnya sekiranya ia terjadi, kita harus bersedia untuk kehilangan segalanya walaupun melibatkan nyawa sendiri. Biarlah diri terkorban, asalkan jamaah selamat. Semua itu adalah harga yang perlu dibayar bagi sebuah perjuangan.

Kesimpulannya, walak ini sangat mencabar. Tanpa tekad yang tinggi terhadap Islam, mudah kita tergelincir dalam mana-mana lubang yang merosakkan. Insya-Allah pada siri terakhir, kita akan membicarakan pula soal bara’ yang menjadi antonim kepada walak. Akan dikeluarkan sekali gus dalam bentuk ebook daripada siri 1. Insya-Allah.

ALANG IBN SHUKRIMUN – HARAKAHDAILY 24/7/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/photo.php?fbid=6232424370131738&set=a.394265150614385&type=3